China luluskan rawatan antibodi monoklonal kepada pesakit Covid-19 – Utusan Digital

China luluskan rawatan antibodi monoklonal kepada pesakit Covid-19 – Utusan Digital

BEIJING: Pihak berkuasa ubat-ubatan China memberikan kelulusan kecemasan bagi satu terapi khusus untuk pesakit Covid-19 yang terbukti berkesan mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian.

Keputusan itu dibuat selepas pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia memberi lampu hijau kepada rawatan tersebut yang diberi keutamaan kepada golongan berisiko tinggi.

Pentadbiran Produk Perubatan Kebangsaan China memberikan kelulusan kecemasan untuk rawatan antibodi monoklonal.

Antibodi monoklonal merupakan sejenis protein yang melekat pada protein koronavirus dan mampu mengurangkan keupayaan virus itu menceroboh sel-sel badan.

Rawatan itu melibatkan gabungan dua jenis ubatan dan diberikan menerusi suntikan.

Terapi itu dibangunkan oleh Universiti Tsinghua dengan kerjasama Hospital Shenzhen dan Brii Biosciences.

Data percubaan menunjukkan gabungan terapi boleh mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian melibatkan golongan berisiko tinggi kira-kira 80 peratus.

China merupakan negara terbaharu yang meluluskan rawatan tersebut selepas Britain dan Eropah turut mengambil langkah sama.

Rawatan itu secara tidak langsung memberi satu lagi alternatif mencegah komplikasi jangkitan Covid-19 yang serius. – AFP