
China telah melanjutkan pinjaman sebanyak AS$2 bilion kepada Pakistan untuk tempoh setahun lagi.
ISLAMABAD – China telah melanjutkan pinjaman sebanyak AS$2 bilion (RM8.83 bilion) kepada Pakistan untuk tempoh setahun lagi.
Menurut kenyataan rasmi daripada Kementerian Kewangan Pakistan pada Sabtu, pinjaman tersebut sepatutnya matang pada 24 Mac 2025, namun Beijing bersetuju untuk melanjutkan tempoh bayaran balik selama setahun lagi.
Katanya, keputusan itu telah disampaikan secara rasmi kepada kerajaan Pakistan.
Lanjutan pinjaman ini akan membantu mengukuhkan rizab pertukaran asing Pakistan, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan China terhadap kestabilan dan pemulihan ekonomi negara itu.
“Ini bukan kali pertama China melanjutkan pinjaman kepada Pakistan. Pada Februari tahun lalu, China turut mengambil langkah serupa semasa pentadbiran kerajaan sementara,” ujarnya.
Perkembangan ini berlaku sehari selepas Duta Besar China ke Pakistan, Jiang Zaidong, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
Pakistan turut menzahirkan penghargaan kepada China atas sokongan kukuh dan berterusan dalam pelbagai isu utama.
Oleh itu Pakistan menegaskan komitmen mereka untuk terus menyokong China dalam hal-hal terasnya, selain memperkukuhkan hubungan strategik kedua-dua negara di bawah kerangka Perkongsian Kerjasama Strategik Sepanjang Masa (All Weather Strategic Cooperative Partnership). – Agensi.