China lancar modul pertama stesen angkasa lepas

China lancar modul pertama stesen angkasa lepas

BEIJING: China melancarkan modul pertama stesen angkasa lepas baharu yang disiarkan televisyen negara itu, menandakan peristiwa penting perancangan Beijing menempatkan kehadiran manusia di angkasa lepas secara kekal.

Modul teras Tianhe, yang menempatkan peralatan sokongan kehidupan dan tempat tinggal bagi angkasawan itu dilancarkan dari Wenchang di Wilayah Hainan dengan roket Long-March 5B.

Stesen angkasa itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2022, selepas kira-kira 10 misi untuk mengumpul lebih banyak bahagian dan memasangnya di orbit.

Berjuta dolar diperuntukkan dalam penjelajahan ruang angkasa ketika China berusaha mengikuti jejak Amerika Syarikat dan Russia.

Rakaman langsung stesen penyiar CCTV menunjukkan pekerja program angkasa bersorak ketika roket itu bergerak melalui atmosfera yang memancarkan api dari lokasi pelancaran.

Stesen angkasa China dijangka berada di orbit rendah Bumi di antara 400 hingga 450 kilometer di atas Bumi selama 15 tahun.

Walaupun China tidak merancang menggunakan stesen angkasa bagi kerjasama antarabangsa pada skala Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), Beijing berkata pihaknya terbuka untuk kerjasama dengan pihak asing tanpa memberikan perincian lanjut.

Negara itu sudah bergerak jauh sejak satelit pertamanya dilancarkan pada tahun 1970.

Ia meletakkan ‘taikonaut’ China pertama di angkasa pada tahun 2003 dan menghantar kenderaan tinjauan ke orbit Marikh awal tahun ini.

China melancarkan Tiangong-1, modul prototaip pertamanya yang bertujuan meletakkan asas untuk stesen angkasa tetap pada September 2011. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top