
Kerajaan China kini berusaha menangani masalah obesiti dalam kalangan penduduknya yang berjumlah 1.4 bilion. Foto Agensi
BEIJING – Kerajaan China kini berusaha menangani masalah obesiti dalam kalangan penduduknya yang berjumlah 1.4 bilion, termasuk lebih 50 peratus orang dewasa yang mengalami masalah berat badan berlebihan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bagi mengatasi masalah ini, kemudahan perubatan akan menyebarkan lebih banyak maklumat mengenai kesihatan pada tahun-tahun akan datang, kata Menteri Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Lei Haichao pada sidang media Ahad.
Pusat kaunseling pesakit luar juga akan diwujudkan.
Hotel-hotel akan digalakkan untuk melengkapkan bilik dengan alat penimbang sebagai amalan standard agar golongan perniagaan dan orang ramai dapat memantau berat badan mereka.
Menangani obesiti adalah perkara yang agak baru bagi China, sebuah negara yang pernah berhadapan dengan krisis kelaparan pada pertengahan abad yang lalu.
Dalam kenyataan akhbar tahun lalu yang mengumumkan garis panduan pertama negara itu mengenai obesiti, pegawai mengakui bahawa “China telah bergelut selama berabad-abad untuk memberi makan kepada penduduknya yang ramai.”
“Namun, kemakmuran yang semakin meningkat telah mengubah keadaan. Kini, penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit kardiovaskular menjadi ancaman utama kepada penduduk China dan berkait rapat dengan gaya hidup,” kata Lei.
Walaupun Suruhanjaya Kesihatan melaporkan bahawa pada 2020, lebih separuh daripada orang dewasa di negara itu mengalami masalah berat badan berlebihan, angka berkenaan dijangka meningkat kepada 65.3 peratus menjelang 2030. – Bernama