China ancam Taiwan guna belon

China ancam Taiwan guna belon

TAIPEI: Tentera Taiwan melaksanakan latihan melibatkan pesawat, kapal dan sistem peluru berpandu pertahanan udara, susulan laporan mengenai kehadiran dua belon China berhampiran pulau tersebut. 

Terdahulu, Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan pihaknya mengesan dua belon China di atas perairan utara pulau itu.

Belon tersebut dikesan pada petang Rabu di dua lokasi, kira-kira 111 kilometer (km) barat laut dan 163 km di utara Bandar Keelung.

Ia juga susulan penampakan satu belon China pada Ahad lalu, di perairan yang sama.

Kementerian itu turut melaporkan, 13 pesawat tentera dan tujuh kapal tentera laut China dikesan di sekitar Taiwan dalam tempoh 24 jam sehingga jam 6 pagi Khamis.

Komando Tentera Udara Taiwan dalam kenyataan berkata, latihan awal pagi Khamis bertujuan untuk menguji tindak balas dan prosedur penglibatan unit pertahanan udara.

“Pelbagai jenis pesawat, kapal dan sistem peluru berpandu pertahanan udara dikerahkan dari 5 pagi hingga 7 pagi (waktu tempatan),” kata kenyataan itu tanpa memberikan butiran lanjut.

Kali terakhir Komando Tentera Udara mengadakan latihan sedemikian adalah pada Jun, sebulan selepas Presiden Taiwan, Lai Ching-te memegang jawatan.

China dan Taiwan diperintah secara berasingan sejak 1949, namun Beijing menganggap negara pulai itu sebahagian daripada wilayahnya dan enggan mempertimbangkan penggunaan kekerasan untuk membawa Taiwan di bawah kawalannya.

Beijing kerap mengerahkan jet pejuang, dron dan kapal perang di sekitar Taiwan, serta kadang kala menggunakan belon, sebagai tekanan ketenteraan yang berterusan.– AFP

Scroll to Top