Cherry On Top melawan trend lagu dangdut, galau TikTok

Cherry On Top melawan trend lagu dangdut, galau TikTok

KUALA LUMPUR: Kumpulan anak muda, Cherry On Top (COT) tidak terkilan sekiranya lagu mereka belum berjaya mencuri tumpuan pengguna di aplikasi TikTok. 

Band asal Kuala Lumpur yang dianggotai Kuzan, Osama, Ayen Tommy, Holy, dan pasangan adik beradik, Didi dan Bobo tetap teguh memperjuangkan muzik dengan genre progressive rock

“Memang mencabar untuk mempromosikan lagu rock di dalam TikTok. Namun kami tidaklah merancang untuk melakukan remix terhadap lagu-lagu yang pernah kami hasilkan. 

“Kami mengakui ia platform yang baik untuk mempromosikan lagu kerana algoritma TikTok boleh mencapai penonton dengan lebih luas. 

“Cuma kekurangannya, pendengar hanya tahu bahagian tertentu tanpa mengetahui keseluruhan lagu itu,” kata Kuzan mewakili COT ketika ditemui Utusan Malaysia di One Scream Studio, baru-baru ini.

Bagaimanapun, COT tidak menolak seandainya di masa hadapan ada komposer yang mahu bekerjasama  menghasilkan lagu mesra TikTok untuk kumpulan itu.

“Kalau di masa depan kita dapat lagu yang mudah laris di platform itu, apa salahnya. Sementara itu, kami akan selalu mencabar diri untuk belajar benda baru.

“Sebagai pemuzik kita tidak boleh terikat dengan satu genre, kita kena dengar juga aliran muzik yang lain,” tambahnya. 

Mempunyai enam orang ahli dalam kumpulan tidak membuatkan COT sulit menentukan hala muzik.

“Kami semua ada selera muzik berbeza, sebab itulah kami memilih progressive rock yang boleh disesuaikan dengan pelbagai genre.

Kami saling bertolak-ansur dan berfikiran terbuka. Masing-masing pun terima dan dengar pilihan muzik ahli lain. Paling penting faham dan cuba belajar apa yang digemari  oleh ahli lain agar dapat mencapai kata sepakat,” tambah Bobo. 

Terdahulu, COT baru meluncurkan album baru bertajuk Ketagih yang memuatkan lima lagu termasuklah lagu duet bersama   diva soprano ternama, Datuk Syafinaz Selamat. -UTUSAN

Scroll to Top