Chef Wan beri elaun hingga RM3,000 kepada adik-beradik

Chef Wan beri elaun hingga RM3,000 kepada adik-beradik

KUALA LUMPUR – Selebriti, Chef Wan mengakui tidak kisah berkongsi rezeki bukan hanya dengan ahli keluarga terdekat bahkan pesakit kanser dalam usaha mencari keseimbangan dunia dan akhiratnya.

Pemilik nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail itu berkata, selepas pemergian ibunya, Allahyarham Noraini Abdullah awal tahun lalu, beliau berharap dapat menjaga insan di sekelilingnya.

“Adik beradik pun saya bagi elaun. Seorang yang RM3,000, seorang RM2,000, macam duit pencen. Semua orang dapat.

“Selepas ibu saya meninggal, bekas isteri saya semua dapat (elaun). Adik beradik semua saya jaga.

“Pada saya, saya seorang yang seimbang. Duit adalah duit. Tadi cef saya pun cakap untuk kanser, ‘banyak cef bagi dana tahun ini’ saya kata, ‘tak apalah, sedekah’,” katanya yang berusia 66 tahun  dalam perkongsian di TikTok.

Bapa kedua dua anak itu menambah, ketika ini, beliau mementingkan semangat kekeluargaan apabila ingin lebih kerap berkumpul dengan seisi keluarga terutama pada sambutan hari istimewa.

“Mereka sudah difahamkan gaya hidup saya yang sibuk, jadi kalau saya tiada pun adik-beradiknya saya boleh datang ke sini (restoran) menjamu selera,” kongsinya.

Pada masa sama, bapa tunggal itu turut memberitahu, lebih baik mengutamakan kebajikan dengan individu terdekat serta mereka yang memerlukan.

Beliau yang pernah menjadi pelakon itu berkata, harta seseorang itu akan akan habis dengan bersedekah kerana ia tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

“Biar kita mati miskin, biar kurang harta tapi kita lebihkan kebajikan. Pada akhirnya bukan tanya berapa rumah yang awak ada kan? Ada lima biji rumah, nak buat apa banyak rumah?” ujarnya.

Chef Wan juga enggan memikirkan hal duniawi termasuk menambah hartanah.

“Anak semua dah ada dah bahagian masing-masing, cukuplah. Tak payah beli rumah lagi dah. Duit itu lebih baik pergi mengembara, bagi kebajikan mana yang perlu.

“Kena (beri) rumah kebajikan yang betul-betul. Orang-orang susah, cacat, autistik, buta, rumah orang tua-tua,” katanya.

Ogos tahun lalu, Chef Wan didiagnos kanser limfoma namun bersemangat melalui sesi kemoterapi sehingga sembuh. –  MalaysiaGazette