Ceroboh rumah, cedera warga emas, penganggur dipenjara 30 hari, denda

Ceroboh rumah, cedera warga emas, penganggur dipenjara 30 hari, denda

am@hmetro.com.my

Kuala Selangor: Seorang penganggur dikenakan hukuman penjara 30 hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh kediaman dan mencederakan penghuninya, akhir bulan lalu.

Majistret Siti Hajar menjatuhkan hukuman itu terhadap Shamsul Atin, 34, dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menceroboh rumah milik wanita warga emas berusia 73 tahun, di Jalan Pari 1, Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan, jam 3 petang, 28 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM 5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap wanita itu dengan menumbuk di mata kiri menggunakan tangan sebanyak sekali, serta menumbuk di mulut kiri menggunakan tangan kanan sebanyak sekali, di lokasi dan masa yang sama.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM 2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala tertuduh diwakili peguam, Khairul Hazwan Rashid Mohd Redduan.

Terdahulu, Khairul Hazwan Rashid merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda minimum sahaja kerana Shamsul yang masih bujang, tidak mempunyai pekerjaan serta perlu menjaga ibu yang sakit tua.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top