Celine Dion gamatkan persembahan pembukaan Olimpik Paris

Celine Dion gamatkan persembahan pembukaan Olimpik Paris

Paris: Penyanyi tersohor, Celine Dion yang berdepan masalah kesihatan serius tampil penuh bertenaga pada segmen penutup acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 di sini, awal pagi tadi. Superstar berusia 56 tahun yang sebelum ini mendedahkan beliau menghidap masalah kekejangan otot teruk itu tampil solo untuk mengakhiri acara empat jam itu dengan penuh bersemangat.

Ini adalah persembahan pertama Celine dalam tempoh empat tahun selepas mengalami Stiff Person Syndrome (SPS) kira-kira dua tahun lalu.

Pada acara itu, Celine mendendangkan lagu klasik pernah dirakam biduanita terkemuka Perancis, mendiang Edith Piaf berjudul L’Hymne a’ l’amour dari tingkat satu Menara Eiffel, di sini.

Penyanyi itu diiringi oleh seorang pemain piano di tingkat pertama Menara Eiffel.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, menyifatkan Dion adalah ikon Kanada yang luar biasa.

“Dia adalah ikon Kanada. Dia memiliki bakat yang luar biasa, dan berjaya mengatasi banyak halangan untuk berada di sana malam ini. Seronok melihat anda menyanyi semula,” katanya.

Sementara itu, penyanyi kelahiran Itali, Laura Pausini dalam perkongsiannya berkata, dia menangis sebaik melihat penyanyi itu membuat persembahan.

“Tangan saya menggigil dan menangis apabila saya mendengar serta melihat Celine Dion yang saya cintai,” katanya.

Penampilannya sangat dinantikan apabila ribuan peminat menunggu di luar hotelnya di bandar itu dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Kali terakhir penyanyi My Heart Will Go On itu membuat persembahan secara langsung adalah pada Mac 2020, di New Jersey.

Dalam dokumentarinya, Celine berkata dia berazam untuk kembali membuat persembahan.

“Jika saya tidak boleh berlari, saya akan berjalan. Jika saya tidak boleh berjalan, saya akan merangkak,” katanya.

“Dan saya tidak akan berhenti. Saya tidak akan berhenti.”

© New Straits Times Press (M) Bhd