lizamridzuan@hmetro.com.my
BOON Siew Honda Sdn Bhd dengan bangganya memperkenalkan Honda CBR150R dalam pilihan warna baharu yang lebih menarik diinspirasikan daripada DNA perlumbaan ikonik Honda.
Sentuhan warna ini menyerlahkan lagi rekaan agresif motosikal berkenaan sambil mengekalkan aura sporty yang menjadi identitinya.
Bagi peminat dunia permotoran, warna Honda Tricolor kini hadir pada CBR150R, memberi penghormatan kepada warisan sukan permotoran Honda yang penuh semangat kelajuan dan persaingan.
Selain itu, pilihan warna Silver tampil berani dengan kombinasi badan yang kemas serta kemasan warna menonjol, mencipta keseimbangan antara gaya sofistikated dan prestasi mantap.
Honda CBR150R boleh didapati di semua pengedar sah Honda dan IMPIAN X di seluruh negara pada harga cadangan bagi model ini ialah RM13,399 (tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan pendaftaran).
Honda CBR150R mula diperkenalkan di Malaysia pada 2021, menampilkan enjin 149.2cc DOHC 4-lejang dengan kuasa maksimum 16.09 kuasa kuda (hp) pada 9,000rpm dan tork maksimum 13.7Nm pada 7,000rpm.
Terdapat juga edisi terhad Repsol yang dilancarkan pada 2022 untuk 800 unit sahaja dan pada 2023, Honda C
BR150R diperkenalkan dengan warna baharu, Pearl Nightfall Blue.
Ciri lain pada motosikal ini ialah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 saluran, klac Assit&Slipper, Suspensi hadapan terbalik (USD), lampu LED dan panel meter digital penuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd