Catcha Digital Masuk Sektor Perisian Perbankan, Ambil Alih Theta Service Partner Bernilai RM35 Juta | Oh! Media

Catcha Digital Masuk Sektor Perisian Perbankan, Ambil Alih Theta Service Partner Bernilai RM35 Juta | Oh! Media

Catcha Digital Berhad terus memperkukuh kedudukannya dalam ekonomi digital Asia Tenggara apabila mengumumkan pengambilalihan 92.5% kepentingan ekuiti dalam Theta Service Partner Sdn Bhd (Theta) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Catcha Theta Holdings Sdn Bhd.

Pengambilalihan ini dimeterai melalui perjanjian jual beli bersyarat dengan nilai anggaran RM35 juta secara tunai, yang akan dibayar dalam empat peringkat iaitu RM5.9 juta, RM6.6 juta, RM11.2 juta dan RM11.3 juta. Ia tertakluk kepada keuntungan bersih (PAT) yang ditetapkan untuk tahun kewangan berakhir 2024, 2025 dan 2026.

Apa yang syarikat Theta lakukan?

Theta merupakan syarikat pembekal utama perisian pinjaman (loan origination software) untuk institusi kewangan menerusi produk andalan mereka, ORIGINS. Perisian ini menawarkan fungsi seperti penilaian kredit automatik, sokongan pelbagai produk, automasi aliran kerja serta pematuhan peraturan.

Pengambilalihan ini dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan Catcha Digital. Theta Group telah mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM3.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 2023, dan turut mempunyai pelanggan jangka panjang termasuk bank-bank terbesar di Singapura, Malaysia serta sebuah bank pan-Asia yang berpangkalan di Taiwan.

Pengambilalihan ini merupakan satu langkah strategik kami ke dalam sektor perisian perbankan dan sejajar dengan visi membina kumpulan teknologi digital yang menyeluruh.

Apa yang mengagumkan kami ialah kepakaran mendalam Theta Group dalam sistem pinjaman serta hubungan jangka panjang mereka dengan institusi kewangan utama merentas pelbagai pasaran.- Menurut Patrick Grove, Pengerusi Catcha Digital.

Menyertai Catcha Digital mengukuhkan lagi potensi kami untuk merebut peluang besar dalam sektor perisian perbankan.

Sepanjang 25 tahun kami dalam industri ini, kami lihat betapa pentingnya sistem pinjaman yang mantap, lebih-lebih lagi dengan permintaan terhadap kecerdasan buatan dan teknologi berasaskan awan.- Leong Kwok Hung, Pengarah Urusan Theta.

Theta kini beroperasi di pelbagai negara termasuk Singapura, Malaysia, Filipina, Indonesia, Taiwan, India, Hong Kong, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom bagi memproses jutaan permohonan pinjaman dengan kecekapan tinggi.

Pengambilalihan Theta adalah selari dengan strategi Catcha Digital untuk membina kumpulan digital ASEAN yang menyeluruh, menyasarkan ekonomi digital rantau ini yang dianggarkan bernilai RM1 trilion menurut laporan Google, Temasek dan Bain & Co 2024.

Selain Theta, lima pengambilalihan strategik lain turut diumumkan dalam tempoh lima bulan lalu:

• DS Services Sdn Bhd (Digital Symphony): 51% kepentingan untuk RM22.95 juta, tertakluk kepada PAT RM4.5 juta dan RM4.2 juta.

• Framemotion Studio Sdn Bhd: 60% kepentingan untuk RM37.32 juta, tertakluk kepada PAT dan kepentingan minoriti RM6.8 juta dua tahun berturut-turut.

• Drive 2 Digital Sdn Bhd: 60% kepentingan untuk RM16.2 juta, tertakluk kepada PAT RM3.5 juta dan RM4.2 juta.

• Tastefully Malaysia Sdn Bhd: 70% kepentingan untuk RM7.6 juta, tertakluk kepada PAT bermula RM0.5 juta hingga RM1.6 juta dalam tempoh 36 bulan.

• Nexible Solutions Sdn Bhd: 51% kepentingan untuk RM11.3 juta, telah selesai 22 Januari 2025, dengan PAT jaminan tahunan bermula RM0.7 juta hingga RM3.3 juta sehingga tahun 2027.

Kesemua pengambilalihan ini dilihat mampu memberi impak positif kepada pendapatan masa depan syarikat serta memperkukuh lagi kehadiran Catcha Digital dalam ekonomi digital ASEAN.

#ApaKataOhmedia

Catcha Digital membuktikan bahawa strategi pengembangan menerusi pengambilalihan syarikat teknologi yang berpotensi tinggi boleh menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan.

Bagi syarikat-syarikat tempatan, ini menjadi inspirasi untuk berani melebarkan pengaruh melalui kepakaran digital dan menjadikan ASEAN sebagai pasaran sasaran utama.


Scroll to Top