Carsley lulus ujian pertama

Carsley lulus ujian pertama

Dublin: Pengurus sementara England, Lee Carsley, menikmati penampilan sulung impian apabila gol daripada Declan Rice dan Jack Grealish berjaya mengalahkan Ireland 2-0 pada perlawanan pembukaan Liga Negara-Negara Uefa di Dublin sebentar tadi.

Rice dan Grealish, yang kedua-duanya menolak Ireland untuk mewakili England, menjaringkan gol pada separuh masa pertama dalam perlawanan pertama Carsley sebagai pengurus selepas Gareth Southgate meletak jawatan.

Southgate meletak jawatan selepas kekalahan menyedihkan England di final Euro 2024 kepada Sepanyol Julai lalu.

Carsley, yang memimpin England Bawah-21 tahun muncul juara Euro tahun lalu, mengambil alih tugas secara sementara ketika Persatuan Bolasepak England (FA) sedang mencari pengganti tetap.

Pengurus Newcastle, Eddie Howe dan bekas pengurus Chelsea, Graham Potter, dikatakan antara calon utama.

Namun, harapan Carsley untuk mendapatkan jawatan itu secara tetap semakin cerah dengan prestasi meyakinkan England dalam kemenangan Kumpulan B2 di Stadium Aviva.

Ia adalah kenyataan berani dari pengurus berusia 50 tahun itu, yang menyatakan England bakal tampil lebih berani di bawah pimpinannya jauh berbeza dari skuad kurang bersemangat yang dua kali menjadi naib juara Euro di bawah Southgate.

Kemenangan pertama England di Dublin sejak 1964 perlu diletakkan dalam konteks bahawa lawan mereka agak lemah di bawah kendalian pengurus baharu Heimir Hallgrimsson, seorang doktor gigi yang berkelayakan.

Beliau mungkin mendapati tugas membina semula pasukannya yang bermasalah lebih menyakitkan daripada rawatan saluran akar gigi pesakitnya.

Carsley kekal dengan keputusan kontroversinya untuk tidak menyanyikan ‘God Save the King’ sebelum permulaan perlawanan, satu langkah yang mencetuskan kemarahan bahagian penyokong England yang lebih patriotik.

Carsley dilahirkan di Birmingham tetapi mempunyai datuk nenek dari Ireland, yang membolehkannya meraih 40 penampilan bersama negara berkenaan.

Beliau berkata, tidak pernah menyanyikan lagu kebangsaan kerana lebih suka memberi tumpuan kepada perlawanan sebelum sepak mula.

Jika Carsley terus merancang persembahan yang menarik termasuk aksi kedua berdepan Finland Rabu depan, perdebatan mengenai pendiriannya tidak menyanyikan lagu kebangsaan akan cepat dilupakan.

Ini adalah perjalanan kedua England ke Dublin dalam tempoh 29 tahun selepas perlawanan persahabatan 1995 antara kedua-dua pasukan dibatalkan apabila penyokong pelawat merusuh di Lansdowne Road.

© New Straits Times Press (M) Bhd