Cara kematian kucing meragukan, polis diharap siasat lebih terperinci

Cara kematian kucing meragukan, polis diharap siasat lebih terperinci

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Subang: Kelab Kucing Malaysia berharap pihak berkuasa dapat melaksanakan siasatan lebih terperinci dalam kes tiga kucing ditemui mati dalam keadaan menyayat hati termasuk empat kakinya dipotong dalam kejadian di Universiti Malaya (UM), di sini.

Presidennya, Khalid Rashid berkata, punca kematian haiwan itu dikatakan akibat serangan anjing liar namun beliau berpandangan cara kematiannya agak tidak masuk akal.

Menurutnya, bukan mahu mempersoalkan hasil siasatan pihak berkuasa namun beliau berharap pihak berkenaan dapat meneliti semula kes itu susulan ia mendapat pelbagai reaksi ramai.

“Kita juga tidak pasti apa puncanya dan dikatakan ia kerana (serangan) anjing tetapi pada pandangan saya yang sudah banyak menyelamatkan kucing, (kecederaan kucing berkenaan) tidak kena pula kalau dikatakan dimakan atau didera (diserang) anjing liar.

“Cara matinya lain jadi saya berharap pihak berkuasa boleh bantu menjalankan siasatan dengan lebih terperinci dan telus dalam kes ini. Kalau anjing buat (serang), selalunya anjing akan menerkam leher atau perutnya (kucing) terburai dan jarang nak makan habis tetapi kaki (kucing dalam kejadian itu) macam dipotong,” katanya.

Khalid berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Kerjasama Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) antara KKM, Brit Malaysia serta Lembaga Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk Projek Amal Bencana, di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengarah Jualan Xpt United Sdn Bhd, Alex Ng iaitu syarikat pengedar makanan kucing jenama Brit Malaysia.

Khalid berkata, justeru beliau berharap kejadian itu dapat disiasat semula dengan lebih terperinci dengan turut membabitkan pihak atau individu yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkenaan.

Sebelum ini, seekor kucing dinamakan ‘Lily’ ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila keempat-empat kakinya seperti dipotong dan mempunyai luka besar pada badan di universiti itu.

Hari ini, media melaporkan, polis mendapati kematian kucing terbabit dipercayai akibat serangan anjing liar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, pihaknya menerima tiga laporan berhubung kejadian itu pada Isnin, Jumaat dan Sabtu lalu.

Menurut Rusdi, tiada saksi yang melihat kejadian namun hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan universiti berkenaan mendapati, terdapat sekumpulan anjing liar bertindak menyerang kucing terbabit.

Sementara itu, mengenai program amal berkenaan, Khalid berkata, mereka akan menyumbangkan lima tan makanan kucing di negeri terjejas banjir, baru-baru ini.

Katanya, orang ramai juga dialu-alukan membantu menyumbang makanan kucing tanpa mengira jenama dengan boleh menghubungi Lembaga Kebajikan Haiwan melalui Facebook selain turut menggalakkan sumbangan barangan lain seperti pasir kucing serta ubat-ubatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top