CAP cadang senarai hitam pengarah syarikat terbabit kemalangan bas

CAP cadang senarai hitam pengarah syarikat terbabit kemalangan bas

am@hmetro.com.my

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru Kementerian Pengangkutan (MoT) memperketatkan penguatkuasaan bas pelancongan dan ekspres bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.

Susulan kejadian terkini membabitkan bas persiaran di Kilometer 16.5, Jalan Genting Highlands, Bentong pada 29 Jun lalu CAP mencadangkan pengarah syarikat terbabit disenarai hitam.

Presidennya Mohideen Abdul Kadeer berkata, ia berikutan peruntukan Akta Pengangkutan Jalan dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara selama dua tahun terhadap syarikat melanggar peraturan tidak mencukupi dan jarang digunakan.

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) boleh menggantung atau membatalkan lesen mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“CAP mencadangkan integrasi data saman dan pelanggaran trafik dengan tarikh tamat serta cukai jalan lesen yang mana syarikat perlu mempunyai akses asas kepada latar belakang pemandu bagi membuat keputusan pengambilan pekerja yang bijak.

“Sejak tahun 2022, terdapat sekurang-kurangnya sebanyak 32 kemalangan bas ekspres berlaku di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kemalangan bas persiaran sekitar 10.35 pagi itu ketika membawa seramai 18 penumpang warga asing dan tiga warga tempatan, terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan menyebabkan kehilangan dua nyawa.

Polis mengesahkan pemandu bas persiaran berusia 32 tahun itu tidak memiliki lesen memandu dan mempunyai 27 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, CAP mencadangkan supaya pelekat yang menunjukkan status pemeriksaan bas, tarikh pemeriksaan seterusnya, serta talian hotline pemberi maklumat dikeluarkan dan ia perlu dipamer dengan jelas berhampiran pintu kenderaan.

Katanya, pemandu bas perlu mengetahui prosedur pemindahan dan pintu kecemasan seperti dalam kejadian kebakaran bas ekspres pada Januari lalu di Alor Gajah, yang mana pelancong berusia 17 tahun meninggal dunia dengan tujuh pagi cedera kerana tidak menyedari keberadaan pintu kecemasan.

“Kebanyakan kemalangan berlaku pada waktu malam berikutan kelajuan dan penglihatan yang buruk, sering menyebabkan terlelap semasa memandu (microsleep).

“Bas mesti mempunyai pemandu kedua bagi perjalanan lebih 300km, satu keperluan undang-undang yang sering dilanggar kerana keperluan untuk membahagikan gaji pemandu dengan pemandu kedua.

“Pemandu kadangkala membuat beberapa perjalanan dengan rehat yang sedikit, terutamanya semasa musim puncak dan tanpa rehat yang mencukupi, tumpuan pemandu di jalan raya boleh terjejas teruk membawa kepada situasi berbahaya seperti microsleep apabila seseorang itu terlalu letih,” katanya lagi.

Mengikut rekod sejak tahun 2011 hingga 2021, seramai 1,305 orang maut di jalan raya Malaysia akibat microsleep.

Sehubungan itu CAP MoT memastikan bas ekspres dilengkapi dengan sistem pemantauan GPS mandatori yang juga satu keperluan sejak tahun 2008.

Kata Mohideen, MoT mesti bertindak cepat dan tegas bagi memulihkan keyakinan penumpang bas ekspres dan pelancongan dengan mengutamakan keselamatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top