Calon SPM terjejas banjir boleh duduki peperiksaan di mana-mana pusat

Calon SPM terjejas banjir boleh duduki peperiksaan di mana-mana pusat

KOTA BHARU: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di beberapa negeri yang terjejas banjir boleh menduduki peperiksaan itu di mana-mana pusat peperiksaan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, langkah drastik itu bertujuan memastikan setiap calon SPM dapat menduduki peperiksaan dengan sebaik mungkin.

Menurutnya, bukan itu sahaja semua pusat-pusat peperiksaan telah dipersiapkan dengan pelbagai langkah-langkah bagi memboleh mereka menerima mana-mana calon dari luar daerah.

“Jabatan Pendidikan Negeri, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di kawasan-kawasan terlibat banjir sudah dimaklumkan berkait dengan pendekatan yang akan digunakan kepada calon SPM itu.

“Tumpuan pada hari ini adalah untuk melihat keseluruhan persiapan untuk peperiksaan SPM selain melawat mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa-mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Demit, Kubang Kerian, di sini hari ini.

Fadhlina memberitahu, sehingga pukul 7 malam tadi Kementerian Pendidikan (KPM) telah kenal pasti lebih 2,000 calon SPM terkesan dengan banjir melibatkan sebanyak 163 sekolah.

Katanya, KPM juga telah bersedia untuk memberi bantuan psikososial kepada mana-mana calon SPM berdepan trauma akibat bencana banjir.

“Kita mahu memastikan semua sistem sokongan kepada calon-calon SPM telah dipersiapkan dan tiada sebarang gangguan kerana kita mahu calon-calon dapat memberi sepenuh tumpuan ketika menduduki peperiksaan.

“Alhamdulillah, sehingga kini semua persiapan berjalan lancar dan musibah banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini adalah cabaran kepada semua yang terlibat.

“Apa pun kita doakan semoga keadaan cuaca bertambah baik dan calon-calon diberikan kesabaran dan kekuatan untuk menghadapi peperiksaan akan datang,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, sebanyak 286 sekolah di negeri-negeri terlibat banjir dibuka untuk dijadikan PPS bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.-UTUSAN

 

Scroll to Top