Calon pengendali Malaysia B23: Nafuzi enggan ulas

Calon pengendali Malaysia B23: Nafuzi enggan ulas
Calon pengendali Malaysia B23: Nafuzi enggan ulas

Nafuzi sedang fokus membantu KDA FC menghadapi KL City bagi perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 di Stadium Darul Aman, Jumaat ini. Foto KDA FC

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain enggan mengulas mengenai ura-ura dirinya dikaitkan sebagai calon ketua jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B23).

Menurutnya, fokus utama kini adalah membantu persiapan Sang Kenari bagi menghadapi perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 bertemu Kuala Lumpur City FC, Jumaat ini.

“Saya tidak mahu bercakap tentang isu (calon ketua jurulatih Malaysia B23) ini kerana bila saya bercakap akan menjadi pelbagai khabar angin lagi. Fokus saya adalah pada perlawanan Jumaat ini.

“Kedah berdepan saingan sukar apabila bertemu sebuah pasukan yang bagus seperti KL City FC walaupun beraksi di Stadium Darul Aman,” katanya semasa ditemui pada sesi latihan di Padang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Alor Setar pada Rabu.

Jelas Nafuzi, masalah tunggakan gaji dihadapi pasukannya itu seperti yang telah diketahui oleh semua pihak kini sedikit sebanyak bakal memberikan kelebihan kepada lawan dari sudut motivasi.

Terdahulu, media melaporkan khabar angin melibatkan pengendali tersebut bakal meninggalkan Sang Kenari dan bakal menyertai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai pengendali skuad muda negara.

Bagaimanapun, FAM dan juga KDA FC tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan perkara tersebut setakat ini.

Nafuzi yang terkenal dengan istilah ‘Nafuzi Ball’ yang diberikan oleh pengulas dan penyokong bola sepak sebelum ini mula menyertai KDA FC pada 2023 selepas meninggalkan Terengganu FC.

Namun kehadiran pengendali itu ke Alor Setar untuk mengembalikan kegemilangan Hijau Kuning tidak kesampaian apabila dilanda masalah kewangan.

Pemilik saham majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar sehingga kini sedang berusaha untuk mencari penaja bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Scroll to Top