PETALING JAYA: Antara perkara paling sinonim setiap kali tibanya musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri adalah pemberian duit raya.
Maka, tidak hairanlah sekiranya bank atau institusi kewangan menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan wang kertas baharu dan not tertentu seperti RM1, RM5 dan RM10 untuk diagihkan sebagai duit raya.
Bagaimanapun, seiring dengan peredaran zaman, tidak ramai yang sanggup beratur lama di bank untuk tujuan itu, sebaliknya menggunakan perkhidmatan menukar duit raya melalui ejen atau runner.
Di Pulau Pinang khususnya, perkhidmatan ejen untuk menukar duit raya semakin banyak dan lebih terbuka.
Sebelum ini, perkhidmatan tersebut hanya diiklankan di laman sosial sahaja, tetapi kini ejen yang terlibat sudah berani untuk membuka meja di bazar Ramadan atau bazar Aidilfitri yang menjadi tumpuan orang ramai.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata ejen menawarkan perkhidmatan itu dengan kadar upah RM5 bagi setiap nilai RM100 yang ditukar.
Ada juga ejen yang meletakkan upah sehingga RM10 bagi kadar tukaran sama, namun menawarkan diskaun andai penukaran dibuat dalam kuantiti banyak, selain memberikan hadiah seperti sampul duit raya dan sebagainya.
Ejen yang hanya mahu dikenali sebagai Zack, 36, berkata, dia menawarkan perkhidmatan itu bagi memudahkan orang ramai yang tidak sempat ke bank pada waktu pagi atau hari bekerja.
Zack berkata, pada permulaannya, dia berkongsi modal dengan beberapa rakan untuk mendapatkan duit raya itu lebih awal dari bank sebelum menjalankan urus niaga tersebut.
“Kami sudah tiga tahun buat servis ini kerana permintaan untuk menukar duit raya sememangnya tinggi.
“Dulu mungkin tidak ramai yang menawarkan servis ini. Sekarang, banyak persaingan. Apapun, kami tidak pernah memaksa pelanggan untuk menukar duit raya dengan kami. Kalau setuju (dengan upah yang dikenakan), kita jalan. Itu sahaja,” katanya.
Seorang lagi ejen, Ahmad Farid, 31, berkata, dia menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai ketika mula-mula menjalankan perkhidmatan itu tahun lalu.
“Ada yang kata saya tak patut caj lebih, saya ambil riba dan macam-macam. Bagi saya, saya cuma mengambil upah penat saya menunggu di bank untuk dapatkan duit raya itu. Selain duit minyak bagi pelanggan yang mahukan servis COD (bayar ketika penghantaran). Salah ke,” soalnya.
Sementara itu, di Terengganu, orang ramai kecewa kerana gagal menukar duit raya, berikutan dipercayai dimonopoli golongan ejen yang mengambil kesempatan terutama pada minggu terakhir Ramadan.
Mereka menyifatkan, caj perkhidmatan juga terlalu tinggi iaitu RM10 untuk setiap RM100 nilai pertukaran.
Peniaga, Zulfadli Azim, 39 berkata, dia tidak berpuas hati apabila dimaklumkan oleh pengurusan beberapa buah bank di Kuala Terengganu bahawa wang kertas baharu sudah habis ditukar minggu ini.
“Sebaliknya, ramai pula ejen yang mengiklankan khidmat penukaran wang kertas baharu dalam media sosial dengan caj tertentu, kononnya mahu membantu orang ramai tanpa perlu beratur panjang di bank.
“Ini adalah satu taktik licik pihak tidak bertanggungjawab yang menekan pengguna kerana terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang besar hanya untuk menukar wang kertas baharu,” katanya. – UTUSAN