Cadangan tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak perlu dibuat teliti – Ahmad Zahid

Cadangan tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak perlu dibuat teliti – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Sebarang cadangan persempadanan semula dan pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak perlu dibuat dengan diteliti, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dr. Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penelitian itu harus melibatkan parti-parti komponen dalam Kerajaan Madani, pihak pembangkang dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, pihaknya belum meneliti cadangan dikemukakan itu kerana ia harus melibatkan banyak pihak.

“Kita juga harus duduk dengan SPR mengenai perkara ini. Bagaimanapun, apabila sampai ketikanya yang sesuai kita akan berbincang bersama ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin parti termasuk daripada
pembangkang juga.

“Maka ini seharusnya diteliti dengan sebaik-baiknya bersama-sama dengan SPR,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka, Lebaran Kasih Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria, di sini malam ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung rundingan bagi meminda kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.

Fadillah sebelum ini menyatakan rundingan itu perlu dibuat secara bersemuka khususnya dengan setiap Ahli Parlimen di Semenanjung.

Beliau dilaporkan berkata, pendekatan sama telah diambil Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menyandang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai usaha meminda Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan Perkara 160 itu dilaksanakan bagi memasukkan Perjanjian Malaysia (MA63), Laporan Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Ahli Parlimen Semenanjung kini mewakili 75 peratus daripada 222 kerusi dan sebarang pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat, tidak perlu rujuk Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak kerana ia sudah mewakili dua pertiga.

Pada November 2024, Fadillah dilaporkan berkata, pelaksanaan bagi pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak hanya dimuktamadkan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan. – UTUSAN

Scroll to Top