Cadangan pindaan Akta 711 garis empat dasar utama

Cadangan pindaan Akta 711 garis empat dasar utama

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pindaan bagi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 atau Akta 711 yang sedang diterajui oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri menetapkan empat cadangan utama, termasuk pengubahsuaian proviso di bawah Seksyen 6.

BHEUU dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagi pindaan membabitkan seksyen 6, ia berkaitan membuat pendedahan berhubung sebarang kelakuan tidak wajar, selaras dengan tafsiran kelakuan tidak wajar di bawah Seksyen 2 Akta 711.

“Kedua, penambahbaikan Seksyen 11 Akta 711 bagi peruntukan pembatalan perlindungan kepada pemberi maklumat di mana perlindungan boleh dilanjutkan sekiranya pendedahan yang dibuat adalah berdasarkan suci hati (good faith) dan tidak membabitkan sebarang kepentingan peribadi.

“Ketiga, pengenalan kaedah dan skala pengiraan ganjaran melalui peraturan di bawah Akta 711 mengguna pakai kuasa menteri untuk membuat peraturan-peraturan di bawah Seksyen 27(1) Akta 711 dan diwartakan bagi tujuan penguatkuasaan.

“Manakala yang keempat, cadangan perluasan perlindungan kepada pemberi maklumat dari segi fizikal dengan mengguna pakai Program Perlindungan Saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 atau Akta 696,” kata kenyataan itu.

BHEUU memaklumkan, pihaknya turut mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat secara interim untuk memantapkan aspek pengurusan dan penyelarasan pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat di bawah Akta 711 sebelum penubuhan agensi berpusat sebenar.

Katanya, jawatankuasa terbabit boleh dijadikan sebagai penanda aras bagi menentukan fungsi sebenar agensi berpusat serta tatacara bersesuaian bagi mengendalikan pelbagai senario pendedahan kelakuan tidak wajar melalui pelbagai agensi.

BHEUU dalam kenyataan sama memberitahu, usaha untuk membuat pindaan bagi Akta 711 bertujuan memerangi rasuah dan salah laku lain dengan menggalakkan dan memudahkan pemberi maklumat membuat pendedahan kelakuan tidak wajar, melindungi orang yang membuat pendedahan daripada tindakan yang memudaratkan dan memastikan supaya pendedahan tersebut disiasat dan diuruskan dengan sewajarnya.

Jelasnya, sebanyak lebih 20 sesi mesyuarat jawatankuasa kerja, lima bengkel pembangunan dan penetapan dasar serta enam sesi libat urus diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan utama serta badan bukan kerajaan bagi meneliti semula Akta 711 secara keseluruhan.

Katanya, pandangan dan khidmat nasihat daripada pemegang taruh serta kesediaan badan yang diperuntukkan kuasa terhadap mekanisme pelaksanaan adalah penting, termasuk meneliti implikasi yang mungkin berbangkit apabila pindaan ini dikuatkuasakan.

Tambahnya, melalui perangkaan dasar yang tepat, pindaan ini bukan sahaja memberi perlindungan kepada pemberi maklumat, tetapi boleh meningkatkan keyakinan kepada masyarakat supaya lebih yakin untuk mendedahkan apa-apa kelakuan tidak wajar.

Cadangan pindaan ini juga diyakini dapat membantu kerajaan untuk mewujudkan masyarakat Madani yang akan sentiasa menolak perbuatan salah laku, rasuah dan pelanggaran integriti dalam kehidupan seharian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top