Cadangan cukai baharu industri sawit perlu ambil kira beban peserta – MPOB

Cadangan cukai baharu industri sawit perlu ambil kira beban peserta – MPOB

KUALA LUMPUR – Industri sawit telah menyumbang kutipan cukai merangkumi Levi Keuntungan Luar Biasa (WPL), duti eksport, Ses MPOB dan Cukai Jualan Negeri bagi Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, sebarang cadangan pelaksanaan cukai baharu kepada industri sawit perlu mengambil kira beban penggiat industri yang pada waktu ini menghadapi peningkatan kos
input pengeluaran.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, ia kerana, pelaksanaan konsep pemberian subsidi minyak masak secara bersasar seharusnya disambut baik oleh semua pihak kerana selain meringankan bebanan subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

Ini dapat memastikan subsidi yang disalurkan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan di samping mengelakkan pelbagai bentuk ketirisan dan penyelewengan.

Katanya, berdasarkan anggaran kutipan Levi Keuntungan Luar Biasa (WPL) dan perbelanjaan subsidi minyak masak pada 2022, jumlah sumbangan industri sawit ke atas WPL adalah lebih daripada mencukupi untuk membantu kerajaan membiayai subsidi ke atas 60 juta paket minyak masak polibeg 1kg sebulan (60,000 tan sebulan) di bawah Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).

Tambah beliau, industri sawit negara juga tidak wajar dikaitkan dengan tohmahan bahawa penanaman sawit yang luas telah menjejaskan flora dan fauna serta alam sekitar ekoran daripada penggunaan pelbagai bahan kimia dan baja dalam penanaman sawit.

Selain penguatkuasa peraturan pelesenan MPOB, industri sawit Malaysia dikawal oleh lebih 60 undang-undang dan peraturan untuk memastikan kemampanan, perlindungan alam sekitar dan pematuhan kepada piawaian etika dan sosial.

“Peraturan ini digubal untuk mengawal pelbagai aspek industri, daripada penggunaan tanah dan pemuliharaan alam sekitar kepada amalan buruh dan kawalan kualiti. Pengawalseliaan yang ketat di Malaysia bertujuan untuk mengimbangi faedah ekonomi industri sawit dengan kemampanan alam sekitar, tanggungjawab sosial, dan pematuhan kepada amalan etika.

“Malah, dakwaan bahawa penanaman sawit merosakkan sumber air daripada longkang ke parit terus ke sungai yang menjejaskan kualiti air dan mengurangkan ikan air tawar di sungai-sungai adalah tidak benar. Pihak berwajib telah menguatkuasakan peraturan dalam menangani sisa kilang sawit bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar. Usaha penyelidikan juga telah dilakukan bagi mendapatkan penyelesaian yang lebih ekonomik dan mesra alam,” ujarnya.

Penjelasan itu susulan kenyataan Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Datuk Mohd. Firdaus Abdullah yang mengatakan kerajaan mampu mengutip RM2 bilion setahun jika memperkenalkan cukai khas RM100 bagi setiap satu tan minyak sawit mentah (MSM) sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) semua komoditi sawit tempatan.

Katanya, melalui kutipan RM2 bilion setahun itu mampu mengurangkan pemberian subsidi kerajaan sebanyak RM4 bilion setahun untuk minyak masak peket serta dapat menampung pemberian subsidi komoditi itu tanpa mengira miskin dan kaya.

Dalam pada itu, katanya, eruntukan minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan sebulan pada masa sekarang adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung keperluan minyak masak isi rumah seluruh penduduk Malaysia.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menganggarkan keperluan minyak masak bagi isi rumah seluruh penduduk Malaysia untuk 2023 adalah sebanyak 34,233 tan sebulan.

Ahmad Parveez menambah, bahkan angka ini jauh lebih rendah berbanding peruntukan kuota minyak masak polibeg 1kg sebanyak 60,000 tan sebulan yang mampu menampung keperluan penduduk B40, M40 dan T20.

“Sekiranya isu agihan dapat ditangani dengan berkesan, keseluruhan peruntukan kuota minyak masak ini dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat. Kerana kerajaan juga turut mengenakan kawalan harga ke atas minyak masak kemasan botol di pasaran dengan mengembalikan subsidi di bawah Program Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak (MKHMM) bagi menjamin golongan berkemampuan serta memastikan peniaga mampu memperoleh minyak masak pada harga berpatutan.

“Justeru, isu kenaikan harga makanan susulan kenaikan harga minyak masak tidak seharusnya timbul,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

Scroll to Top