mohamadridzuan@hmetro.com.my
Shah Alam: Penyanyi popular Indonesia yang juga juri program Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Cakra Khan melihat Zazzleen Zulkifli mempunyai kesukaran memilih atau menyanyikan lagu yang sesuai dengan suaranya.
“Sememangnya tipikal suara itu ada kesulitan bagi memilih karya sesuai pada masa akan datang. Saya sempat berbual dengan dia juga. Memang cabaran Zazleen sama dengan saya.
“Saya pun ada masa dimana saya harus sedikit selektif terhadap lagu yang akan dinyanyikan kerana kadangkala kita merasakan nak menyanyikan semua lagu dengan suara kita yang sedikit berbeza dengan orang lain.
“Itu akan sedikit mungkin kurang terdengar enak. Saya juga ketika pertama kali saya masuk industri nyanyian, ramai cakap suara saya seperti banyak kahak,” katanya ditemui pada sidang media selepas program ini berakhir.
Cakra berkata, dia agak memilih untuk membawa sesebuah lagu dengan memanfaatkan ciri khasnya secara maksima.
“Zazleen tak perlu berasa sedih dengan kritikan orang ramai. Sebaiknya, terus buktikan meski memiliki suara lain daripada lain kita masih ada keistimewaan tersendiri,” katanya.
Sementara itu Zazzleen pula berkata, Cakra yang naik ke atas pentas semasa penutup CSOIAM sempat berkata kepadanya, bahawa single Merah nyanyiannya, kena dengan suara beliau.
“Cakra cakap lagu itu ‘ngam’ dengan vokalnya. Mungkin lagu itu saya boleh duet dengan Cakra. Dia menyanyi sikit pun saya dah terharu.
” Tengoklah mungkin ada perancangan membabitkan kami selepas ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd