Cabaran kekalkan kualiti masakan halal

Cabaran kekalkan kualiti masakan halal

SALAH satu cabaran yang sering dihadapi oleh tukang masak atau cef adalah berkaitan dengan bahan kandungan halal bagi menggantikan bahan-bahan tidak halal yang digunakan dalam masakan mereka.

Lebih-lebih lagi hidangan yang disediakan itu berasal dari luar negara seperti masakan Barat, China, Korea, Thailand dan sebagainya yang banyak menggunakan bahan yang tidak halal.

Kadangkala pemilihan bahan yang tidak bersesuaian bagi menggantikan yang tidak halal itu menyebabkan kualiti dan rasa sesuatu hidangan itu berubah.

Bagi pemilik yang juga Pengarah Urusan Kay’s Steak & Lobster, Muhammad Aizuddin Mohd Khalid, beliau menjelaskan pemilihan bahan-bahan bagi sesuatu hidangan tersebut perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan ia tetap sedap dimakan walaupun telah ditukar kepada bahan yang halal.

MUHAMMAD AIZUDDIN (kanan) bersama selebriti Sharifah Shahirah pada majlis pembukaan restoran keempat Kay's Steak & Lobster di Elmina, Shah Alam baru-baru ini.

MUHAMMAD AIZUDDIN (kanan) bersama selebriti Sharifah Shahirah pada majlis pembukaan restoran keempat Kay’s Steak & Lobster di Elmina, Shah Alam baru-baru ini.

“Kreativiti seseorang cef sangat penting dalam proses ini. Begitu juga dengan pengetahuannya yang mendalam bagi sesuatu masakan.

“Jika cef merupakan seorang yang berpengetahuan dalam bidangnya dan kreatif, ia tidak menjadi masalah untuk menukar kepada bahan yang halal sekali gus mengekalkan rasa sedap dan kualitinya,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Menurutnya, jika berlaku sebaliknya iaitu seseorang cef yang kurang berpengatuan dan kurang kreatif, maka hasilnya kualiti makanan juga akan berkurangan.

“Jika cef belajar satu cara sahaja dan dia tidak mengembangkan lagi pengetahuannya serta tidak kreatif, maka dia akan ‘stuck’ di situ.

“Alhamdulillah kita ada cef yang berpengetahuan dan berpengalaman yang boleh variasikan penggunaan bahan asal kepada bahan yang mempunyai sijil halal,” jelasnya.

Latihan berterusan kepada pekerja

Ujarnya, antara cabaran yang dihadapi pengusaha makanan dan minuman (F&B) seperti dirinya adalah latihan kepada para pekerja agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk SOP halal daripada pihak berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Dalam dunia F&B ini, turn over atau masuk keluar staf itu biasanya tinggi dan itulah cabaran kita untuk melatih mereka untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, pengurusan tertinggi di Kay’s Steak & Lobster faham ini merupakan tanggungjawab. Mahu atau tidak kita perlu hadapinya juga,” jelasnya yang kini mempunyai lebih 100 pekerja di empat restoran mereka di Putra Heights, Cyberjaya, Ampang dan terbaharu di Elmina, Shah Alam.

PEMILIHAN bahan halal bagi menggantikan yang tidak halal perlu dibuat dengan teliti agar rasa dan kualiti hidangan tidak terjejas.

PEMILIHAN bahan halal bagi menggantikan yang tidak halal perlu dibuat dengan teliti agar rasa dan kualiti hidangan tidak terjejas.

Tambahnya, dari masa ke masa pihaknya akan sentiasa mencari jalan yang terbaik untuk melatih pekerja termasuk melakukan aktiviti kerja berpasukan setiap tahun.

“Gaji yang ditawarkan kepada staf juga lebih daripada gaji minimum yang diumumkan kerajaan selain beberapa insentif lain turut diberikan kepada mereka.

“Penting untuk kita terus memberikan latihan kepada mereka kerana kita mahu mereka benar-benar mematuhi SOP dan mengekalkan perkhidmatan baik serta hidangan berkualiti kepada para pelanggan,” jelasnya.

Pelanggan bertambah bila dapat sijil halal

Mengimbas kembali pada permulaan perniagaannya kira-kira 11 tahun lalu, Muhammad Aizuddin yang berpendidikan dalam bidang kewangan itu menjelaskan dia memang berminat untuk menceburi perniagaan.

“Saya memilih untuk membuka restoran masakan Barat memandangkan ketika itu tiada lagi restoran seumpamanya di Putra Heights.

“Apa yang uniknya kami membawakan udang kara dan kepingan daging yang terbaik di pasaran untuk dihidangkan kepada para pelanggan,” ujar beliau.

PEKERJA akan sentiasa diberikan latihan agar perkhidmatan baik dan kualiti hidangan terjaga.

PEKERJA akan sentiasa diberikan latihan agar perkhidmatan baik dan kualiti hidangan terjaga.

Hurainya, perniagaannya semakin mendapat sambutan selepas mendapat Sijil Perakuan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jakim.

“Kehadiran pelanggan terutamanya pengguna Muslim bertambah selepas kita memperoleh sijil halal untuk semua premis termasuk dapur berpusat,” jelasnya.

Pihaknya akan membuka cawangan kelima di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) pada Ogos ini selain dua lagi restoran akan dibuka di Johor dan Pulau Pinang pada masa akan datang.

Menyentuh mengenai menu masakan di restoran Kay’s Steak & Lobster, pihaknya menjelaskan hidangan utama mereka ialah stik dan lobster, sesuai dengan nama restoran.

“Pun begitu, ramai pelanggan turut memilih untuk menjamu hidangan Signature Beef Wellington lebih-lebih lagi apabila kita mendapat sijil halal.

“Pelanggan lebih yakin untuk mencuba hidangan ini kerana kita ada sijil halal memandangkan bahan-bahan yang digunakan dalam hidangan asalnya mungkin digunakan bahan yang tidak halal,” katanya.

Scroll to Top