Dublin: Tangan manusia ditemukan di halaman sekolah di Ireland, minggu ini dan ia disyaki milik seorang kanak-kanak, menurut laporan media tempatan.
People melaporkan, polis negara, Gardaí dan perkhidmatan keselamatan Ireland berkata, mereka dimaklumkan mengenai penemuan anggota badan manusia itu di sebuah sekolah di Darndale di sini, pada Jumaat lalu.
Dalam kenyataan sama, pakar patologi negeri dimaklumkan bahawa anggota badan itu sudah dialihkan untuk pemeriksaan.
Katanya, analisis asid deoksiribonukleik (DNA) akan membantu Gardaí dalam mengesahkan pemilik kepada tangan itu.
Polis Ireland berkata, siasatan kes itu masih berterusan.
Dalam pada itu, penyiar berita tempatan RTE melaporkan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tangan itu dijatuhkan oleh seekor burung di lokasi berkenaan pada 10.30 pagi waktu tempatan.
Pihak yang menemukan anggota badan itu kemudian melaporkan penemuan berkenaan kepada polis kira-kira dua jam kemudian.
Difahamkan, tiada kanak-kanak di sekolah ketika itu kerana murid keluar untuk rehat.
The Irish Independent pula melaporkan tangan yang putus itu menunjukkan tanda-tanda kecederaan dan mungkin milik kanak-kanak lelaki tempatan berusia 12 tahun yang mengalami kecederaan serius akibat letupan gas pada petang hari sebelumnya.
Namun, Gardaí setakat ini tidak dapat mengesahkan dakwaan itu.
RTE juga menekankan tiada sebarang tanda yang menunjukkan ada unsur jenayah dalam kes ini.
Dalam pada itu, pihak berkuasa juga akan menyemak daftar orang hilang sebagai sebahagian daripada proses siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd