LINCOLNSHIRE: Seekor burung emu yang diberi nama Emma dan dipercayai sebagai emu tertua di dunia dilaporkan mati di United Kingdom (UK) pada usia 44 tahun.
Burung jantan itu dibawa ke Mablethorpe Seal Sanctuary & Wildlife Centre di Lincolnshire dari Belanda pada tahun 1980.
Namun, ketika tiba di pusat pemuliharaan itu, penjaga haiwan menyangka ia adalah emu betina dan menamakan haiwan itu sebagai Emma.
Walaupun tidak lama kemudian mereka mengetahui ia sebenarnya emu jantan, nama Emma terus melekat dan tidak dapat ditukar.
Menurut pihak pusat pemuliharaan, Emma hampir mencapai usia 45 tahun, satu pencapaian luar biasa memandangkan jangka hayat purata burung emu hanya sekitar 25 hingga 28 tahun.
Ketika pertama kali tiba, burung itu hanya setinggi 2 kaki, namun selepas lebih empat dekad di pusat pemuliharaan, Emma membesar sehingga mencapai ketinggian kira-kira 6 kaki.
Pemegang amanah pusat itu, Dennis Drew, 41, menyifatkan pemergiannya sebagai kehilangan besar kepada mereka.
“Emma merupakan sebahagian daripada keluarga di sini. Dia memiliki keperibadian unik, ada hari dia ceria, ada hari dia berubah menjadi ‘orang tua pemarah’. Namun, seiring dengan usianya yang semakin meningkat, dia menjadi lebih jinak dan tenang.
“Ia juga terkenal dengan sifat nakalnya, sering cuba mencuri barang dari baldi penjaga haiwan,” katanya.
Sebelum ini, seekor emu bernama Pepe dari Australia dipercayai sebagai emu tertua di dunia yang mencecah usia 58 tahun.