Bursa ditutup tinggi, disokong belian kukuh

Bursa ditutup tinggi, disokong belian kukuh

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mengekalkan aliran meningkat untuk ditutup tinggi pada Jumaat, disokong oleh belian berterusan dalam kebanyakan saham berwajaran tinggi, didahului kaunter telekomunikasi dan media serta perkhidmatan kewangan, sejajar dengan sentimen positif yang dialami bursa serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 15.86 mata atau 1.14 peratus kepada 1,412.09 daripada 1,396.23 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks barometer itu dibuka 3.30 mata lebih tinggi kepada 1,399.53 pagi ini sebelum bergerak di antara 1,399.39 dengan 1,414.22 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Keseluruhan pasaran adalah positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 650 berbanding 289, manakala 423 kaunter tidak berubah, 895 kaunter tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.0 bilion unit bernilai RM2.67 bilion daripada 2.93 bilion unit bernilai RM1.78 bilion pada Khamis.

CelcomDigi dan Public Bank merupakan penyumbang utama kepada peningkatan indeks utama, apabila masing-masing menambah 12 sen dan 7.0 sen kepada RM4.31 dan RM3.99, dengan jumlah gabungan 4.57 mata.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata FBM KLCI mempamerkan satu lagi prestasi mengagumkan, disokong belian kukuh daripada institusi tempatan dan kemunculan semula dana asing.

“Di peringkat rantau, indeks utama menunjukkan momentum positif, didorong oleh isyarat menggalakkan dari pasaran saham antarabangsa.

“Sentimen pelabur kekal positif memandangkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Amerika Syarikat yang lebih rendah berbanding jangkaan, sekali gus memberi keyakinan yang Rizab Persekutuan AS mungkin meredakan kenaikan kadar bulan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata selain itu, Beijing pula sedang giat menyediakan langkah-langkah rangsangan, yang dijangka untuk meraih hasil menggalakkan bagi sektor teknologi China.

Antara saham berwajaran tinggi lain, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing meningkat 7.0 sen kepada RM8.80 dan RM5.84; CIMB melonjak 10 sen kepada RM5.30; Petronas Chemicals menambah 8.0 sen kepada RM6.39 dan Tenaga Nasional naik 9.0 sen kepada RM9.19.

Antara saham aktif, Classita meningkat 7.5 sen kepada 21.5 sen, DNex menambah 3.0 sen kepada 50 sen manakala Widad Group tidak berubah pada 42 sen dan Jade Marvel susut 1.0 sen kepada 21 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 129.89 mata kepada 10,432.12; Indeks FBMT 100 naik 125.24 mata kepada 10,114.50; Indeks FBM Emas Syariah menokok 125.40 mata kepada 10,709.33; Indeks FBM 70 melonjak 220.32 mata kepada 13,825.29 dan Indeks FBM ACE naik 67.25 mata kep 5,279.77.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 190.06 mata kepada 15,735.22; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.75 mata kepada 162.82; Indeks Tenaga menambah 12.02 mata kepada 823.20 manakala Indeks Perladangan menokok 2.45 mata kepada 6,898.12.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama melonjak kepada 3.11 bilion unit bernilai RM2.40 bilion daripada 1.99 bilion unit bernilai RM1.53 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran sebanyak 306.45 juta unit bernilai RM43.92 juta berbanding dengan 399.67 juta unit bernilai RM62.76 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula menokok kepada 586.62 juta saham bernilai RM225.18 juta daripada 536.55 juta saham bernilai RM182.49 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 1.15 bilion saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (638.61 juta); pembinaan (73.21 juta); teknologi (378.40 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (113.77 juta); hartanah (293.99 juta); perladangan (35.37 juta); REIT (7.61 juta); dana tertutup (23,400); tenaga (247.52 juta); penjagaan kesihatan (50.83 juta); telekomunikasi dan media (28.25 juta); pengangkutan dan logistik (47.03 juta); serta utiliti (43.95 juta). – BERNAMA

Scroll to Top