Bunga pun kena seludup

Bunga pun kena seludup

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tidak lagi hanya tertumpu kepada penyeludupan dadah yaba, kosmetik, beras siam atau haiwan ternakan.

Sindiket tempatan kini didapati mula beralih minat terhadap pelbagai spesis bunga-bungaan serta pokok hiasan hibrid Thailand untuk diseludup besar-besaran ke Malaysia.

Ia terbukti apabila pihak berkuasa sempadan terutama Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas beratus ribu batang pokok seludup bernilai puluhan juta ringgit sejak empat bulan lalu.

Antara pokok hiasan paling popular diseludup masuk ke negara ini adalah pokok bunga orkid, pokok bunga kertas, pokok bunga ros, pokok bonsai, pelbagai tanaman hiasan jenis bromeliad, pokok pine, pokok bonsai, pokok Thai Jasmine, air plant dan pelbagai spesies lain.

Turut menjadi tumpuan adalah pelbagai pokok buah-buahan hibrid seperti petai, mata kucing ping pong, durian hitam, durian mothong, longan serta pokok dokong.

Difahamkan aktiviti penyeludupan itu semakin berleluasa susulan keuntungan lebih empat kali ganda diperoleh sekiranya tumbuhan berkenaan berjaya dipasarkan kepada peniaga dan pengusaha nurseri pokok di negara ini.

Terbaru aktiviti penyeludupan pokok hiasan dan buah-buahan Thailand berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara 24 Februari lalu apabila mereka merampas 14,500 pokok durian jenis ‘black thorn’, laici serta longan bernilai lebih RM 1.1 juta susulan penahanan lori di Kampung Parit Air, Rantau Panjang, Kelantan.

Kes rampasan besar-besaran turut dilakukan pada 9 Februari lalu, apabila Batalion 8 PGA berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 4,000 pokok orkid bernilai RM2 juta di Rantau Panjang, Kelantan.

Selain itu, pada 6 Februari 2025, PGA menahan dua lori sarat membawa 80 pokok bonzai kayu hitam bernilai RM2.3 juta, juga di Rantau Panjang.

Pokok-pokok ini dipercayai diseludup dari Thailand dan berpotensi membawa ancaman biologi kepada flora tempatan.

Penyeludupan ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara melalui persaingan tidak sihat dengan pengusaha tempatan, malah membawa risiko besar kepada industri pertanian dan hortikultur.

Kemasukan spesies asing tanpa kawalan boleh mengintroduksi serangga perosak dan penyakit baru yang sukar dikawal.

Lebih membimbangkan, kehadiran spesies asing invasif (IAS) ini boleh mengancam biodiversiti tempatan dengan mengatasi spesies asli dalam persaingan untuk sumber, seterusnya mengubah ekosistem sedia ada.
Ini boleh membawa kesan negatif jangka panjang terhadap keseimbangan alam sekitar dan ekonomi negara.

Wartawan Harian Metro yang melakukan penyamaran dan uji beli di beberapa nurseri bunga di Songkla dan Hatyai, baru-baru ini mendapati pelbagai spesis bunga-bungaan antaranya bunga orkid, bunga kertas, pokok bonsai dan pokok bromeliad dijual pada harga jauh lebih murah berbanding di Malaysia.

Sebagai contoh, pokok bromeliad guzmania dan bromeliad thai hibrid pelbagai warna boleh dibeli pada harga semurah 80 Bath (RM10.50 ) sedangkan pokok spesies sama dijual sehingga RM50 di Malaysia.

Begitu juga dengan pokok bonsai spesies buxus dijual pada harga 300 Bath ( RM39) di negara itu namun boleh menjangkau sehingga RM200 di Malaysia.

Salah seorang peniaga wanita Thailand yang ditemubual memaklumkan dia kerap menerima tempahan dari pemborong yang membeli pokok bunga dibiakkan secara hibrid untuk dihantar ke Malaysia.

Malah, dia memaklumkan pelancong Malaysia kerap singgah membeli pelbagai pokok bunga di premisnya untuk dibawa pulang ke Malaysia.

“Biasanya saya akan bungkus pokok bunga dibeli ini menggunakan kertas tebal dan plastik supaya ia tidak kelihatan dan dirampas ketika melalui pemeriksaan di pintu sempadan,

“Memang ini satu kesalahan (seludup masuk ke Malaysia ) tetapi ramai orang Malaysia tertarik kepada spesies bunga-bungaan Thailand yang lebih menarik, tahan lasak pada cuaca dan kerap mengeluarkan bunga,” katanya.

Dia memaklumkan pokok bunga dari Thailand ini biasanya disorokkan bersama barangan lain di dalam but kenderaan milik pelancong Malaysia bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Selain PGA, tindakan menyeludup pokok dari Thailand turut boleh diambil tindakan oleh Jabatan Perkhidmatan kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang berkawal di pintu sempadan.

Setiap keluaran pertanian yang diimport perlu mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi mengawal kemasukan penyakit tumbuhan.

Aktiviti mengimport keluaran pertanian tanpa Permit Import adalah kesalahan Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top