Bulan Rejab waktu untuk menanam amal soleh

Bulan Rejab waktu untuk menanam amal soleh

PERSOALAN yang selalu bermain di fikiran kita, bagaimana Ramadan kita? Adakah kita telah berjaya atau akan berjaya meraih status takwa untuk Ramadan akan datang. Segala-galanya bermula daripada diri kita, adakah kita ingin atau tidak.

Mulakan dari bulan Rejab, bulan persiapan dan bulan kita menyemai benih untuk dituai di bulan Ramadan. Jadi, orang Islam harus berjuang bersungguh-sungguh untuk meraih kemenangan ini, sebab kita ingin berjaya menjadi orang-orang yang bertakwa.

Berkaitan dengan bulan Rejab itu, Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:

Advertisement

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah S.W.T ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah S.W.T semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah S.W.T beserta orang-orang yang bertakwa.”

(At Taubah: 36)

Dalam ayat ini Allah S.W.T menyebutkan jumlah bulan di sisi Allah S.W.T sejak penciptaan langit dan bumi. Di antara 12 bulan itu ada empat bulan haram. 

Apa yang dimaksudkan bulan haram? 

1. Dilarang di bulan itu peperangan dan pembunuhan padanya.
2. Berbuat dosa atau kebaikan di bulan itu, dosanya atau pahalanya lebih berat atau berganda dari bulan-bulan yang lain.
3. Ini ketetapan daripada Allah S.W.T.
4. Jadi jangan menzalimi diri kalian (berbuat dosa dan keburukan) di bulan-bulan ini kerana hukumannya berganda.
Lihat pula apa sabda Nabi S.A.W mengenai bulan haram ini:

Diriwayatkan oleh Abi Bakrah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah S.W.T menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Syaaban”.

(Riwayat al-Bukhari, no. Hadis 4054)

Kita sekarang berada di dalamnya, bulan Rejab. Bulan, kita membuat persiapan sementara menunggu kedatangan Ramadan. Moga Allah S.W.T sampaikan kita ke bulan Ramadan. 

Waktu terus berlalu dari minit berubah menjadi minggu, bulan dan tahun. Para ulamak memberikan sebuah perumpamaan. Dengan perumpamaan ini, orang lebih mudah faham. Mereka menyebutkan, “tahun itu diibaratkan pokok, yang daun-daunnya akan muncul di bulan Rejab, kemudian ia akan berbunga dan akan berbuah di bulan Syaaban, lalu dijaga buah itu dengan baik dan di bulan Ramadan, bulan memetik buahnya.”

Jadi apabila berbicara mengenai Ramadan, Ramadan adalah bulan untuk semua. Hadis-hadis yang membicarakan mengenai bulan Rejab, tidak ada yang sahih, kebanyakannya dhaif dan palsu. Cukuplah menyatakan keutamaan bulan Rejab ini, satu bulan haram yang mempunyai keistimewaan sebagaimana yang sudah Allah S.W.T sebutkan dalam ayat al-Quran di atas. 

Bulan ini bulan haram, bulan persiapan untuk Ramadan. Pelbagai keutamaannya mengenai bulan ini untuk memotivasikan kita beramal di dalamnya. Di antaranya, ungkapan ulamak mengenai bulan Rejab ini agar kita termotivasi mempersiapkan diri demi Ramadan:

1. Bulan Rejab, bulan kita memperbaiki diri dengan meninggalkan dosa dan kelalaian kita.  

Bulan Syaaban adalah bulan untuk beramal, menunjukkan kesetiaan kita, setelah di bulan Rejab kita memperbaiki diri kita, meninggalkan dosa-dosa. Mahu tidak mahu, kita mesti membersihkan diri dan hati kita, sebelum kita memulakan amalan. 

Dengan cara apa, kita mahu beramal? Dengan membanyakkan istighfar, memohon keampunan kepada Allah S.W.T, bertaubat, berhenti dari berbuat dosa, memperbanyakkan puasa sunat, bersedekah, membaca al-Quran, berzikir, solat sunat dan yang lain-lainnya.

Rasulullah S.A.W, di bulan Syaaban, Beliau berpuasa sunat hampir penuh. 

Usamah bin Zaid bertanya Nabi S.A.W mengapa Baginda banyak berpuasa pada Bulan Syaaban, Nabi S.A.W menjawab yang bermaksud:

“Syaaban antara Rejab dan Ramadan, manusia lalai mengenainya. Padanya (Bulan Syaaban) diangkat amalan hamba-hamba Allah S.W.T. Aku suka tidak diangkat amalanku, melainkan aku dalam keadaan berpuasa”

(Riwayat al-Nasai, dinilai hasan)

Di bulan Syaaban, semua amalan yang sudah kita mulai di bulan Rejab akan mulai utuh dan teguh kita melaksanakannya. Ramadan sebagai bukti menunjukkan kejujuran, keseriusan dan kesungguhan kita beribadah hanya untuk Allah S.W.T sahaja. Jadi Ramadan itu adalah hasil akhir, setelah usaha keras dilakukan sepanjang Rejab dan Syaaban.

2. Bulan Rejab, bulan bertaubat.

Ingat! Melakukan sesuatu dosa di bulan ini, balasannya berganda, jadi awas, jangan mengkhianati diri sendiri dengan melakukan dosa dan maksiat. Tinggalkan segala jenis dosa dan jangan mengulanginya lagi dan jangan terus-terusan hanya memikirkan perut dan di bawah perut sahaja. 

Di bulan Rejab dan Syaaban, perbanyakkanlah berpuasa sunat kerana Allah S.W.T mencintai amalan orang yang suka berpuasa dan Allah S.W.T sendiri yang akan membalasnya.

Dalam satu hadis qudsi, Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: 

“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipat gandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah S.W.T berfirman (yang maksudnya): Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Jadi amalan puasa sudah menjadi perkara biasa yang tidak memungkinkan kita berbalas dendam makan itu ini, ketika berbuka di bulan Ramadan. Jadi, kita sudah bersedia untuk menambah amalan-amalan kita di sepanjang bulan Ramadan. Kita tidak akan menjadi orang yang sibuk di pasar-pasar Ramadan dan sebagainya tetapi lebih tenang dan bersemangat melaksanakan amalan-amalan sunat di siang dan malam Ramadan demi meraih reda Allah S.W.T.

Amalan salafussoleh, antaranya boleh mengkhatamkan al-Quran di setiap tujuh malam terakhir, di luar bulan Ramadan, tiga malam terakhir, di bulan Ramadan dan di sepuluh malam terakhir Ramadan, dia khatam setiap malam.

Bulan Ramadan bukan bulan pesta makanan tapi bulan pesta ibadah, bulan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, yang telah dimulai dari Rejab dan Syaaban. 

Jangan sesekali jadi hamba nafsu, makan berlebihan ketika berbuka, akan menimbulkan sifat malas, lemah dan lesu. Badan mula berasa berat untuk ke masjid berjemaah untuk solat fardu dan solat tarawih, hilang semangat untuk membaca al-Quran dan sebagainya. Jadi semuanya perlukan latihan dan persiapan agar kuat, zahir dan batin. Jadi persiapannya, mulakan dari bulan Rejab dan Syaaban.

Zun Nun al-Misri, seorang ulamak sufi telah menyebutkan, “Rejab adalah bulan meninggalkan kesalahan-kesalahan, Syaaban bulan untuk melaksanakan ketaatan dan Ramadan untuk mencari karamah (kemuliaan daripada Allah S.W.T). Orang yang tidak meninggalkan dosa di bulan Rejab dan tidak melakukan ketaatan di bulan Syaaban dan tidak menunggu-nunggu bertemu bulan Ramadan maka dia akan termasuk orang-orang yang lalai. Dia juga menyatakan Rejab, bulan menanam benih. Syaaban, bulan untuk menyirami. Ramadan bulan untuk menuai hasilnya, Semua orang akan menuai apa yang dia lakukan. Dia akan mendapat balasan atas apa yang dia lakukan. Barang siapa yang tidak menanam sewaktu, waktu menanam atau menanam sekadar asal menanam, maka dia akan menyesal dan akan merasakan akibat buruk dari perbuatannya yang buruk itu.”

Jadi, kalau di bulan Rejab, dia menanam dosa dan keburukan, dan tidak berhenti melakukannya, maka di bulan Ramadan dia akan tetap melakukannya. Jadi bulan Rejab ini adalah kuncinya bulan kebaikan dan keberkatan. Untuk memasuki bulan Syaaban dan Ramadan, kuncinya di bulan Rejab. Jadi bagaimana kalau kita tidak membuka di bulan Rejab ini dengan amalan kebaikan, apa yang akan jadi dengan bulan Syaaban dan Ramadan? Fikir-fikirkanlah.

Kita melihat orang lain, melakukan pelbagai macam amalan-amalan soleh di siang dan malam harinya, sedangkan kita masih di takuk lama dengan sibuk mengejar hal-hal dunia yang tidak kehabisan dan kelalaian yang tiada berpenghujung. Kita tidak mampu melakukannya sebab kita tidak pernah ada keinginan, mempersiapkannya seawal di bulan Rejab dan Syaaban lagi.

Setelah memahami apa yang telah dinyatakan oleh para ulamak di atas mengenai apakah yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim di bulan Rejab ini, apakah kita termotivasi? Atau kita masih merasakan, ini hal biasa-biasa sahaja atau kita tidak ambil peduli? Kembalilah memuhasabah diri, apakah masih bersarang di hati, sifat terkeji, mazmumah. Kalau masih ada, bersihkanlah semuanya dahulu dengan taubat dan memohon keampunan Allah S.W.T, barulah ditanam sifat-sifat terpuji dan amalan-amalan sunat yang banyak dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Barulah di saat itu hati kita termotivasi, bersemangat untuk melakukan ketaatan sebab kita merasakan keberadaan dan kebesaran Allah S.W.T di dalam setiap detik kehidupan kita.

Jadi bulan Rejab ini, bulan yang sesuai untuk melakukan semua amalan kebaikan. Apa sahaja kebaikan yang hendak dilakukan di bulan Ramadan, mulakannya di sini. Bersegera dan jangan menunda-nunda kerana perbuatan menunda-nunda itu, tipu daya iblis, agar akhirnya, orang Islam yang beriman, rugi dan menyesal.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya, seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”

(Ali Imran: 133)

Allah S.W.T menyuruh bersegera menuju keampunan-Nya dan syurga-Nya. Jadi mulakanlah dari sekarang:

1. Solat fardu yang tepat pada waktunya. Lelaki usahakan berjemaah di masjid.
2. Tambahkan dengan solat-solat sunat rawatib, yang mengiringi solat fardu – akan diambil pahala solat sunat itu, untuk menampung kekurangan solat fardu. 
3. Bangun untuk solat malam, solat witir (boleh dilakukan selepas solat Isyak seperti dilakukan semasa solat tarawih) – boleh mendirikan solat taubat, tahajud dan hajat di masa bangun berqiamulail.
4. Solat tarawih di bulan Ramadan – solat witir (boleh dilakukan selepas solat Isyak seperti dilakukan semasa solat tarawih).
5. Istihgfar – bertaubat kepada Allah S.W.T. Allah S.W.T  mengampunkan semua dosa dan gembira menerima taubat hamba-Nya. Setelah itu, tinggalkan tempat yang jahat itu, pergi menuntut ilmu, berzikir dan laksanakan ketaatan. Fokus pada kehidupan yang baru, moga Allah S.W.T akan mengampunkan kesilapan-kesilapan masa kelam yang lalu.
6. Perbanyakkan puasa sunat, (tidak ada pahala puasa khusus untuk bulan Rejab) jadi lakukan sahaja seperti biasa, puasa Isnin, Khamis, puasa hari putih atau puasa Nabi Daud – sekurang-kurang satu hari di bulan Rejab.
7. Bersedekah (di bulan Ramadan, Rasulullah S.A.W sangat laju sedekahnya).
8. Membaca dan mendalami makna al-Quran (contoh, 4 muka surat bagi setiap waktu solat, akan dapat 1 juzuk 1 hari).
9. Memperbanyakkan zikir (zikir pagi dan petang atau zikir-zikir harian).
10. Banyakkan berselawat.
11. Berdoa – berdoalah di ketika sujudmu, sebelum memberi salam dan pada bila-bila sahaja kamu hajatkan. 
12. Berbakti dengan orang tua (keredhaan Allah S.W.T bergantung kepada keredhaan orang tua).
13. Menghubungkan silaturrahim (kerana di bulan Syaaban orang-orang yang tidak bertegur sapa dengan saudaranya, amalannya tidak diangkat. Allah S.W.T tidak akan ampunkan dosa-dosanya sehingga dia meminta maaf kepada saudaranya).
14. Dan masih banyak amal-amal kebajikan yang lainnya – kuncinya berbuat baiklah sepanjang masa dan sentiasa ingat, kita akan berhadapan dengan bulan Ramadan.

Kesimpulan

Hadis di bawah ini lemah tetapi boleh digunakan sebagai doa agar menemukan kita ke bulan Ramadan.

Doa lengkapnya yang bersumber dari riwayat Anas bin Malik R.A:

أللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَان

“Ya Allah, berkahilah umur kami di bulan Rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah (umur) kami hingga bulan Ramadan.”

Dan Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan Rabb-mu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(al-Mu’min : 60)

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 16/1/2024