‘Buktikan bukan hanya cakap kosong’

‘Buktikan bukan hanya cakap kosong’

CITA-cita untuk melihat pasukan negara menjejakkan kaki ke Piala Dunia dan menjadikan Harimau Malaya sebagai pasukan paling cergas di Asia diharapkan bukan hanya cakap kosong.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, ia harus dibuktikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), skuad Harimau Malaya, Robert Friend dan Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan, Dr Craig Duncan selepas skuad negara sudah lama berada dalam prestasi yang tidak memuaskan.

Menurutnya, apa juga diperkatakan oleh kedua-dua individu itu merupakan sasaran mereka, namun peminat bola sepak negara sudah tentu mengharapkan ia berjaya kali ini terutama ketika janji sama seperti layak ke Piala Dunia sudah sering didendangkan.

“Apa juga hasrat mereka, itu sudah tentu sasaran yang mereka tetapkan. Dalam menjadikan pasukan Harimau Malaya paling cergas, sudah tentu perlu melihat kepada ‘keputusan makmal’ dan data kesemua pemain negara.

“Daripada data tersebut baru dapat tahu di mana tahap pemain negara dan satu program khas boleh direka. Namun, sejauh mana ia akan berhasil, kita serahkan kepakaran kepada mereka.

“Begitu juga untuk layak ke Piala Dunia. Saya melihat CEO baharu Harimau Malaya tidak biasa dengan pengurusan pasukan kebangsaan. Ia akan menjadi sedikit cabaran terutama untuk memahami konteks di Asia.

“Bagi saya, apa juga yang diutarakan oleh kedua-dua mereka, perlu dibuktikan dan bukan hanya cakap kosong,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini, Friend dalam satu wawancara bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan impiannya untuk membawa Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Dunia.

Duncan pula yang memiliki latar belakang hebat dalam bidang sains sukan mahu memacu skuad negara menjadi paling cergas di Asia.

Namun, hasrat dan impian mereka itu mendapat reaksi yang pelbagai dalam kalangan peminat bola sepak negara dengan ada yang menyifatkan kedua-dua individu itu belum apa-apa lagi sudah ‘sembang’ kencang.

Sadek berkata, ketika ini, Friend dan Duncan perlu bercakap berdasarkan fakta selain perlu mencari ramuan khusus untuk mengubat kelemahan pasukan negara.

“Ini memerlukan kerja keras dan akan memakan masa yang lama. Sudah tentu peminat bola sepak negara tidak boleh mengharapkan keputusan segera.

“Saya harap apa juga yang dilakukan akan mampu meningkatkan prestasi pasukan negara,” katanya.

Scroll to Top