Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ hari ini mendapat pembelaan sewajarnya apabila menang saman fitnah ke atas pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq sebanyak RM2.5 juta.
Memetik laporan Sinar Harian, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Abu Syafiq membayar jumlah tersebut selepas didapati memfitnah KJ berkaitan program vaksinasi semasa krisis Covid-19.
“Penfitnah wajar dihukum” – KJ

Menurut KJ, kemenangan ini lebih kepada mesej penting dari mahkamah bahawa sebarang fitnah, lebih-lebih lagi ketika negara sedang bergelut menyelamatkan nyawa, adalah sesuatu yang sangat serius dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Mendapat RM2.5 juta bukan soal wang, sebaliknya mesej yang ingin disampaikan mahkamah ialah bahawa fitnah yang dibuat ketika negara dilanda krisis Covid-19 sememangnya tidak wajar diulangi.
Malah, jumlah yang dikenakan memberi isyarat bahawa pemfitnah wajar dihukum dengan jumlah yang besar.
Keputusan mahkamah bukan sahaja kemenangan untuk mendapatkan kebenaran bagi saya, bahkan kejayaan dalam mengiktiraf usaha semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia dalam membebaskan negara daripada pandemik.
Ujarnya, kenyataan tidak berasas itu bukan setakat menjejaskan kredibilitinya, malah melunturkan semangat petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menyelamatkan negara.
Mahkamah tegas hukum penabur fitnah

Terdahulu, KJ menfailkan saman terhadap Abu Syafiq dan seorang lagi defendan iaitu Datuk Lokman Noor Adam susulan beberapa kenyataan antara 20 Oktober 2021 hingga 10 Januari 2022.
Kenyataan yang dibuat secara atas talian itu mempersoalkan program vaksinasi kerajaan ketika itu.
Kes terhadap Lokman bagaimanapun diselesaikan secara baik pada 15 April 2024 apabila beliau bersetuju memohon maaf dan membayar pampasan kepada KJ dalam tempoh 30 hari.