Bukan setakat jumpa lebih 147kg ganja, polis turut temukan pistol pada ahli sindiket edar dadah

Bukan setakat jumpa lebih 147kg ganja, polis turut temukan pistol pada ahli sindiket edar dadah

am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran ganja di utara Semenanjung selepas merampas 147.67 kilogram (kg) dadah itu bernilai lebih RM487,000, 15 Mac lalu.

Hasil maklumat risikan, operasi khas dilancarkan sebelum dua lelaki ditahan di Plaza Tol Sungai Dua dan Plaza Tol Juru menghala arah selatan, dekat sini.

Pemangku Pengarah JSJN Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, tangkapan pertama dibuat di Plaza Tol Sungai Dua, jam 9.20 pagi membabitkan suspek lelaki berusia 46 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV).

“Pemeriksaan menemukan tujuh guni berisi ganja seberat 146.590kg dan bunga ganja seberat 1.075kg selain sepucuk pistol Sig Sauer, dua kelopak peluru kosong dan tiga pasang gari.

“Penahanan suspek pertama membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek lelaki berusia 24 tahun yang menaiki sebuah kenderaan sedan di Plaza Tol Juru, jam 9.25 pagi.

“Suspek kedua bertindak sebagai ‘sweeper’ untuk memastikan kelancaran proses membawa ganja itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.

Mat Zani berkata, kesemua ganja itu diseludup dari Thailand, seterusnya dibawa ke Lembah Klang dengan menggunakan kereta sewa.

“Sindiket mula aktif sejak awal tahun ini dan memfokuskan pasaran Kedah dan Selangor yang mana setiap kali penghantaran yang berjaya, mereka akan dibayar RM4,000 setiap seorang.

“Ujian urin mendapati, suspek pertama positif dadah jenis THC manakala suspek kedua negatif dadah,” katanya.

Kedua-dua suspek mempunyai kes jenayah lampau dan mereka direman tujuh hari sehingga 22 Mac ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top