Bukan semua suka berpakaian seksi

Bukan semua suka berpakaian seksi

ARTIS K-Pop tidak boleh dipisahkan dengan imej seksi. Pasti ramai peminat bersetuju bahawa gaya pemakaian artis Korea Selatan kebanyakannya keterlaluan dan mencolok mata.

Imej sedemikian bukan sahaja sekadar trend ikutan semasa malah penarik dan faktor yang mencuri tumpuan.

Namun, sebenarnya, bukan semua artis K-Pop selesa berpakaian seksi, apatah lagi mempertontonkan tubuh mereka kepada umum.

Ramai juga antara mereka, yang terdiri daripada nama-nama besar, terpaksa akur berpakaian seksi atas ketentuan pihak pengurusan.

KAI

Pemilik nama penuh Kim Jong-In sebelum ini pernah memaklumkan tidak selesa mengenakan pakaian jenis crop top yang mendedahkan bahagian pusat.

Kata anggota kumpulan EXO ini, dia hanya selesa mengenakan pakaian jenis itu ketika membuat persembahan kerana memudahkan pergerakan ketika menari.

Bagaimanapun, selain tujuan itu, pemakaian baju crop top adalah bukan pilihan dan mungkin atas dasar keterpaksaan.

MOONBYUL

Anggota kumpulan Mamamoo ini jarang mengenakan pakaian seksi.
Malah, Moonbyul sering memakai baju over size dan seluar panjang.

Pernah disoal mengenai pilihannya itu, Moonbyul atau Moon Byul-yi memaklumkan dia tidak gemar mendedahkan tubuh di hadapan khalayak ramai.

“Saya tidak suka berpakaian seksi.

“Seseorang itu bukanlah tidak cantik kalau tak seksi,” jelasnya.

AMBER LIU

“Saya tidak pernah selesa mendedahkan tubuh.”

Dengan tegas anggota kumpulan f(x) membalas pertanyaan media tempatan mengenai penampilan.Kata Amber, itu adalah prinsipnya yang dipegang sejak pertama kali menjadi artis.

“Berpakaian ikut keselesaan. Saya, sejak awal pembabitan dalam dunia hiburan, tidak pernah kisah mengenai fesyen. Ketika latihan sekalipun, saya akan mengenakan sweatshirt.

“Saya berpakain bukan untuk menarik perhatian. Ini yang saya katakan kepada anggota f(x) yang lain,” katanya.

TOP

Pemilik nama penuh Choi Seung-hyun ini juga antara artis K-Pop yang tidak gemar berpakaian seksi.

Meskipun memiliki fizikal berotot, Top sentiasa memilih pakaian yang tidak mendedahkan bentuk badannya.

Malah seorang lagi ahli Big Bang mengakui kebenaran bahawa Top tidak pernah menanggalkan pakaian di hadapan mereka.

Menjelaskan perkara itu kepada media tempatan, Top mengakui dia seorang pemalu sejak kecil.

“Saya memang pemalu. Mungkin ia bersangkutan soal pemikiran saya yang tidak suka mendedahkan tubuh badan,” jelasnya.

Scroll to Top