Bukan sekadar filem seram

Bukan sekadar filem seram

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Meskipun tidak sehebat Indonesia dan Thailand dalam menghasilkan filem genre seram, namun ia tidak pernah melunturkan semangat penerbit dan pengarah tempatan untuk berkarya.

Buktinya, syarikat Golden Star Pictures Sdn Bhd (GSPSB) yang berpangkalan di Borneo menunjuk minat untuk menerbitkan filem seram baharu, Polong arahan Zulkarnain Azhar.

Ditemui baru-baru ini pada majlis pelancaran Polong, Zulkarnain berkata, dia tertarik untuk cuba mengarahkan filem seram kerana menampilkan jalan cerita yang tersendiri.

“Antara tarikan yang saya dapati ada dalam naskhah Polong ialah karya ini bertemakan dosa silam, legasi serta akibat yang tak dapat dielak daripada perbuatan itu pada masa lalu.

“Terutama, pada mengamalkan ilmu hitam si pelaku yang kita inspirasikan daripada sebuah kisah benar pernah terjadi di tanah air. Kisah ini turut mendapat liputan yang meluas.

“Bagaimanapun, walau sekadar mengambil inspirasi, tetapi kita memang pastikan jalan cerita dihasilkan sarat dengan elemen seram yang juga menjadi simbolik kepada kegelapan.

“Selain itu, kita juga akan cuba bawa dalam diri sendiri perasaan terhadap dosa lalu yang menyebabkan trauma kerana masih ada perkara tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Berbicara mengenai pengkisahan Polong, Zulkarnain memberitahu ia menceritakan wanita bernama Maria Hadi yang hidup dengan mengamalkan ilmu hitam dan itu menjadi dosa lampaunya.

“Namun, di sebalik tirai besi yang dihuninya sehingga ke akhir hayat semestinya sebagai manusia biasa akan cuba mencari keampunan daripada Tuhan.

“Sebagaimana garapan cerita, skrip ditulis menggambarkan Maria Hadi terpaksa melepaskan polong belaannya kepada orang yang tidak sepatutnya yang membawa kepada pembalasan dendam.

“Polong itu ingin membalas dendam selepas kematian Maria Hadi dan sumpah laknat yang perlu dihadapi oleh waris keturunannya. Apapun, skrip cerita ini saya pastikan digarap kemas,” katanya.

Menurut Zulkarnain lagi, bersesuaian dengan jalan cerita diangkat itu, dia memilih barisan pelakon berkaliber tempatan yang diyakini sudah membuktikan bakat lakonan masing-masing.

Antara barisan pelakon pilihan Zulkarnain untuk menerajui filem Polong ini adalah Namron, June Lojong, Nadiya Nisaa, Fad Anuar dan ramai lagi yang penggambaran dijangka bermula Mei depan.

Penerbit Eksekutif GSPSB, Onn Norshal Hamzah pula berkata, pihaknya memilih cerita seram sebagai projek sulung syarikat itu berdasarkan kepada karya genre sebegitu didapati selalu mendapat sambutan hangat.

“Filem seram jadi pilihan untuk projek pertama GSPSB di layar perak tempatan kerana keyakinan syarikat terhadap permintaan pasaran yang tinggi terhadap genre ‘horor’ atau hantu.

“Kisah Polong ini juga sudah melalui satu proses perbincangan sistematik dengan melihat kepada kekuatan komersil yang tinggi, selain dijangka mampu memberikan impak saingan dalam pasaran filem di pawagam.

“Ditambah dengan kualiti penceritaan, penerbitan dan kuasa pasaran yang kuat membuatkan GSPSB melalui filem Polong ini percaya dapat menawarkan suatu kelainan tersendiri,” ujarnya.

Mengulas juga pemilihan Zulkarnain sebagai pengarah, Onn mengakui pengalaman pastinya menjadi faktor utama kerana lelaki itu sudah terbabit dalam filem ‘box office’ seperti Takluk, Air Force dan J Revolusi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top