redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Demi menghargai penat lelah pekerja, pengusaha warung burger dan makanan barat, Mohd Kharil Bahari berkongsi rezeki dengan memberi duit raya dan hamper sebagai bonus kepada mereka.
Lebih istimewa, Mohd Kharil, 36, memberi ganjaran itu sebanyak dua kali iaitu sebelum dan selepas Aidilfitri.
Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas Mohd Kharil berkongsi video ketika mengagihkan duit raya dan hamper di TikTok.
Meninjau ruangan komen, rata-rata memuji sikap Mohd Kharil sebagai majikan kerana tahu menghargai pekerja yang bertungkus lumus dalam membantu perniagaannya.
Bercerita lanjut, Mohd Kharil berkata, pemberian duit raya dan hamper itu sudah menjadi tradisinya sejak enam tahun lalu.
Sebagai majikan, Mohd Kharil yang berniaga di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, dekat sini, bersyukur kerana diberi kesempatan untuk teruskan tradisi itu pada tahun ini.
“Sebenarnya, sebelum hari raya saya sudah beri duit bonus dan hamper kepada pekerja.
“Cuma agihan kali kedua dapat perhatian kerana saya muat naik video di TikTok dan niatnya bukan nak menunjuk sebaliknya mencipta memori dengan pekerja.
“Lagipun, mereka layak dapat penghargaan begitu kerana sudah banyak membantu saya terutama ketika Ramadan lalu. Tahun ini pun ada peningkatan daripada segi jualan, jadi sudah tentu ada bahagian untuk mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Mohd Kharil, bukan hanya menjelang Aidilfitri, namun dia juga membiasakan diri untuk berkongsi rezeki dengan pekerja pada bulan lain.
Katanya, apa yang dilakukannya memberi kepuasan buat dirinya dan diharap menjadi pembakar semangat untuk pekerjanya bekerja dengan lebih rajin.
“Saya pun pernah susah, jatuh malah bermula kosong sebelum nekad membuka gerai burger kecil di tepi jalan 16 tahun lalu.
“Alhamdulillah, rezeki saya apabila dapat kembangkan perniagaan dengan membuka warung yang turut menjual makanan barat kira-kira sembilan tahun lalu.
“Kini, saya ada 23 pekerja, jadi selagi ada rezeki, saya akan cuba jaga kebajikan (pekerja) dan nampak riak wajah mereka yang gembira waktu terima duit raya serta hamper,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd