Bukan niat 'biak' gelandangan

Bukan niat 'biak' gelandangan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Bukan niat kami untuk galakkan kehadiran gelandangan dan menjadikan mereka malas atau bergantung kepada bantuan tetapi sudah menjadi kewajipan kita sebagai manusia membantu golongan memerlukan,” kata Haliza Abdul Halim, 63.

Beliau yang juga Pengasas Projek Dapur Asnaf berkata, pihaknya terbabit dengan pemberian sumbangan makanan kepada golongan gelandangan sejak 2001.

“Pada mulanya, inisiatif itu dilakukan atas ajakan rakan yang menjalankan program membekalkan kondom serta jarum bersih kepada gelandangan di sekitar ibu negara manakala saya membantu memberikan makanan kepada golongan berkenaan.

“Bermula dari situ, saya mengagihkan makanan kepada gelandangan di bawah jambatan di tepi Sungai Klang, Jalan Petaling dan berhampiran Pudu Raya.

“Ketika ini, makanan diagihkan kepada mereka setiap hari. Namun, saya hanya berikan mereka sarapan dengan pengagihan bermula seawal jam 8.30 pagi,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Haliza berkata, jumlah gelandangan di sekitar ibu negara sudah banyak berkurangan berbanding sekitar 2015 hingga 2018 yang merekodkan ratusan gelandangan.

“Sekarang ini, kita lihat jumlah gelandangan semakin berkurangan kerana ada di antara mereka sudah bekerja dan dibantu oleh pihak zakat bagi mendapatkan tempat tinggal.

“Ada dalam kalangan gelandangan ini bekerja tetapi masih tinggal di sini (tepi Sungai Klang) kerana tidak mampu untuk membayar sewa bilik.

“Ada juga gelandangan yang bersendirian, malah ada juga yang berkeluarga. Kebanyakan mereka ini terdiri daripada banduan baru bebas dari penjara serta individu yang dibuang keluarga,” katanya.

Menurutnya, inisiatif pihaknya memberikan makanan kepada golongan gelandangan adalah berpandukan kepada surah di dalam Al-Quran.

“Kita kembali kepada Al-Quran di mana terdapat beberapa surah yang menyatakan kita perlu membantu orang fakir miskin.

“Apabila kita beri bantuan bukan bermaksud kita galakkan mereka jadi gelandangan, malas atau bergantung kepada bantuan sepenuhnya.

“Tetapi ia bagi membantu mereka supaya mereka boleh bekerja dan bersemangat untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, pengasas badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Jejak Jalanan, Azhan Adnan, 56, berkata, objektif pihaknya adalah untuk menjejak fakir miskin dan gelandangan terutama di ibu kota untuk dibantu.

“Kami mempunyai pusat transit gelandangan di Lorong Haji Taib 1 di sini yang juga pusat ilmu bagi anak-anak lorong yang sudah siap diubah suai pada Oktober tahun lalu.

“Bantuan yang kami hulurkan kepada golongan gelandangan ini adalah atas dasar kasihan terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi.

Azhan yang mesra dengan panggilan Abe Hae berkata, pengurangan jumlah gelandangan di sekitar ibu kota ini adalah disebabkan serbuan dijalankan pihak berkuasa.

“Dulu, kita lihat ada ratusan gelandangan di sekitar ibu kota ini. Namun kini, hanya ada lima hingga tujuh orang sahaja gelandangan di satu-satu lokasi.

“Kini ramai gelandangan memilih untuk tinggal di bawah jambatan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa yang akan pindahkan mereka,” katanya.

Beliau berharap golongan itu akan terus dibantu dan dipantau oleh kerajaan selain menghulurkan bantuan kepada mereka termasuk dari segi kebajikan serta mendapatkan pekerjaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top