‘Bukan misi balas dendam’

‘Bukan misi balas dendam’

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio enggan melabel aksi Liga Super berdepan PDRM FC di Stadium Sultan Ibrahim malam esok, ibarat ‘misi balas dendam,’ sebaliknya lebih kepada langkah mempertahankan kejuaraan yang didominasi sejak sedekad lalu.

Justeru menurutnya, kesemua pemain diingatkan agar berwaspada di sepanjang perlawanan agar tidak terperangkap sekali lagi dengan corak taktikal The Cops apabila skuad Harimau Selatan itu ‘digari’ 1-1, pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), 13 Julai lalu.

“Perlawanan ini bukannya untuk membalas dendam, tetapi lebih kepada misi kami untuk mencatatkan kemenangan walaupun sedar lawan memiliki ramai pemain yang baik, pantas dan sentiasa mempamerkan aksi yang ‘mengelirukan.’

“Ia bukan perlawanan membalas dendam, sebaliknya misi kami adalah untuk memburu kemenangan dan itu adalah objektif utama tapi kami harus berwaspada dengan taktik permainan pasukan lawan kerana mereka dibarisi pemain yang baik dan kerap bermain secara pantas dan mengelirukan.

“Lihat sahaja bagaimana aksi mereka bangkit menewaskan pasukan pilihan, Kedah (KDA FC) pada separuh akhir Piala Cabaran baru-baru ini dan ia sudah cukup membuktikan kewibawaan pasukan ini.

“Oleh itu, kesemua pemain diharap dapat mengekalkan fokus dan beraksi sebaik mungkin bagi merealisasikan misi kemenangan kali ini,” katanya menjelang perlawanan tersebut.

JDT kini gah menerajui Liga Super dengan 52 mata hasil 17 kemenangan dan seri sekali setelah mengharungi 18 perlawanan berbanding PDRM FC yang berada pada kedudukan ketujuh dengan 21 mata hasil lima kemenangan seri dan tewas enam kali daripada 17 perlawanan.

Bagaimanapun, untuk rekod, PDRM FC muncul satu-satunya kelab yang berjaya mengikat JDT, 1-1 dalam saingan Liga Super musim ini.

Malah, The Cops hampir mengaibkan skuad Harimau Selatan itu apabila meledak jaringan pembukaan menerusi penyerang, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-22 sebelum pemain import, Oscar Arribas menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-32.

Sementara itu, Bidoglio menyifatkan aksi berdepan PDRM FC sebagai aksi penting yang perlu dimenangi JDT bagi terus mendominasi takhta Liga Super.

Katanya, kemenangan ke atas The Cops bakal memberikan semangat kepada pemain yang hanya perlu melakar satu lagi kemenangan ketika berdepan Perak FC bagi mengesahkan kejuaraan musim ini.

“Secara matematik, jika menang ke atas PDRM kami perlu menang satu lagi perlawanan apabila menentang Perak FC pada hujung Februari ini bagi menjulang trofi Liga Super, oleh itu kami tidak mahu terlalu gopoh sebaliknya mengambil pendekatan perlawanan satu demi satu.

“Apa pun, ia perlawanan yang penting bagi kami. Misi kami bukan sahaja untuk menang tetapi sentiasa memperbaiki taktikal permainan dengan lebih efektif dengan mengekalkan intensiti permainan yang lebih baik dan bermain secara kompak,” ujarnya.

Scroll to Top