Bukan humor 'bishe-bishe'

Bukan humor 'bishe-bishe'

syafil.syazwan@hmetro.com.my

FILEM: 6 Jilake

PENGARAH: Aziz M Osman

PENULIS SKRIP: Aziz M Osman

PELAKON: Amerul Affendi, Saiful Apek, Bell Ngasri, Asmidar, Kazar Saizi, Kamarool Yusof, Jalil Hamid, Wan Raja, Mamak Puteh, Wan Gegau dan Laura Olivia.

TERBITAN: Eartistic Sdn Bhd

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Siapa sangka filem komedi aksi yang satu ini mampu buat penonton duduk diam di kerusi bukan sebab lawak semata-mata, tapi sebab jalan cerita yang betul-betul lain daripada yang biasa.

Filem 6 Jilake, arahan Aziz M Osman, bukan filem biasa-biasa. Ia keluar dari kebiasaan filem komedi tempatan yang selalunya terlalu bergantung pada elemen slapstik dan skrip lawak murahan.

Kali ini, Aziz membawa kita masuk ke dunia Melayu lama, dengan latar klasik yang jarang-jarang kita dapat lihat dalam genre sebegini.

Dari segi penceritaan, 6 Jilake ada struktur naratif yang tersusun dan kreatif. Tidak terlalu berat, tapi tidak juga cetek.

Ada banyak kejutan, banyak plot twist yang sukar dijangka dan itu sudah cukup untuk meletakkan filem ini satu tahap di atas kebanyakan filem komedi aksi tempatan lain.

Penonton bukan sekadar ketawa kosong, tapi terikat untuk tahu apa akan jadi dalam babak seterusnya.

Latar zaman Melayu lama digunakan dengan cukup kemas. Dari rekaan set kampung, pakaian, hingga ke dialog, semuanya membawa suasana klasik yang menyakinkan.

Babak aksi pula bukan main-main. Walaupun ia filem komedi, adegan berlawan dan pertarungan dibuat dengan serius. Koreografi aksi kemas, tak nampak dibuat ala kadar.

Malah, kalau dibandingkan dengan filem aksi bukan komedi pun, babak ini mampu berdiri sama tinggi.

Pelakon-pelakonnya juga bukan calang-calang. Apa yang menarik, ramai antara mereka dikenali sebagai pelakon komedi, tapi dalam 6 Jilake, mereka buktikan bakat mereka lebih luas daripada itu.

Watak Nagasari lakonan Saiful Apek misalnya, tampil dengan dua sisi, kadang-kadang buat kita gelak, kadang-kadang buat kita senyap sebab emosi yang dibawa sampai.

Lakonannya bukan sekadar ‘Apek yang kelakar’, tapi Apek yang ada jiwa watak.

Amerul Affendi pula, sebagai salah seorang teraju utama, berjaya tarik perhatian dengan lakonan bersahaja tetapi cukup berkesan. Babak aksinya pun bukan calang-calang. Dia bawa wataknya dengan selamba, tapi tetap ada impak.

Filem ini jelas memberi ruang pelakon mencuba sisi yang berbeza dan tidak terkunci dalam stereotaip genre masing-masing.

Lebih menarik, filem ini turut dibarisi pelakon popular yang muncul sebagai cameo, antaranya Remy Ishak, Datuk Fauziah Nawi, David Teo, Maria Farida dan Ayda Jebat.

Kemunculan mereka tidak hanya sebagai penyeri, tapi betul-betul membantu menghidupkan suasana dan naratif.

Dari sudut teknikal pula, sinematografi 6 Jilake memang sedap mata memandang. Ada beberapa babak visual yang diambil dengan sudut yang menarik dan ton warna yang cantik.

Imej Janaan Komputer (CGI) filem ini mungkin bukan tahap filem Hollywood, tapi untuk bajet dan skala filem tempatan, hasilnya boleh dipuji.

Yang penting, CGI digunakan dengan bijak, tak berlebih-lebih, cukup untuk menyampaikan suasana dan elemen magis dalam cerita.

Set kampung yang dibina sebagai lokasi utama filem ini juga memperlihatkan kesungguhan produksi. Ia bukan set asal boleh.

Nampak jelas ada usaha menjadikan suasana kampung zaman dulu itu hidup dan berfungsi sebagai watak tambahan dalam cerita.

Selain Apek dan Amerul, filem ini turut dibintangi Bell Ngasri, Asmidar, Kazar Saizi, Kamarool Hj Yusof, Jalil Hamid, Wan Raja, Mamak Puteh dan Wan Gegau.

Kesimpulannya, 6 Jilake adalah filem yang berbaloi ditonton di pawagam. Ia menghiburkan tanpa memperbodohkan penonton. Ia kreatif tanpa perlu menjadi pelik semata-mata mahu berbeza.

Lebih penting, ia membuka ruang baharu untuk filem bergenre komedi aksi di Malaysia, bahawa filem sebegini masih boleh dibuat dengan kualiti dan nilai sinematik yang tinggi.

Jika anda peminat filem Melayu dan mencari sesuatu yang segar, 6 Jilake patut ada dalam senarai tontonan anda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top