lizamridzuan@hmetro.com.my
MESKIPUN bakal dilancarkan tidak lama lagi, Nissan Kicks Serba Baharu sudah mula diperlihatkan di jalanan dan baru-baru ini diadakan sesi pandu uji media buat penawaran terbaharu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) di Malaysia itu.
Ia adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B yang pertama kali diperkenalkan ke dalam pasaran oleh ETCM daripada generasi pertama dengan versi yang dipertingkatkan (facelift) dan bakal ditawarkan menerusi tiga varian iaitu VL (mid grade), VLT (High Grade) dan VLT (High Grade 2-Tone).
Namun apa yang lebih penting teknologi e-Power yang diketengahkan oleh model ini adalah satu teknologi baharu yang menjadi ciri utama model-model Nissan pada masa hadapan.
Media menguji model itu dari Petaling Jaya menuju ke Melaka melalui perlbagai jenis jalan daripada lebuh raya ke jalan desa melalui Lukut, Port Dickson, Linggi dan Melaka dengan jarak lebih 200 kilometer (km) sehala.
Mengenai reka bentuk Kicks ia didatangkan dengan ciri aktif dengan lampu utama nipis LED dan gril hitam V-Motion signatur Nissan, cermin sisi auomatik, rim aloi 17 inci, lampu belakang memanjang LED, rel bumbung dan bumbung ‘gaya’ terapung.
Saiznya dengan tinggi 1,605 milimeter (mm), panjang 4,290 mm dan lebar 1,760mm dengan radius putaran 5.1 meter sesuai untuk mobiliti bandar serta kelancaran pada pelbagai laluan.
Ruang kabin dengan papan pemuka dwi tona coklat (varian VLT), roda stereng sporty, pendingin hawa automatik dengan butang fungsi, tiga pengecas USB, meter separuh digital bersaiz 7 inci dan sistem infotainmen bersaiz 8 inci juga berfungsi sebagai monitor paparan kamera 360 darjah dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Pada konsol tengah dengan ciri seakan kenderaan elektrik (EV) dengan butang mod pemanduan dan EV, brek parkir serta tuil gear gaya baharu selain ruang meletak minuman palinh praktikal untuk pelbagai jenis cawan.
Paling unik Cermin Pandang Belakang Pintar Nissan yang berfungsi sebagai monitor kamera undur bagi kemudahan pemandu yang membolehkan pandangan lebih baik sekiranya terhalang dengan penumpang belakang atau barang penuh di kargo.
Paling utama ialah pemanduan bersama Nissan Kicks ini dengan enjin 1.2 liter yang menjana kuasa 129PS dan tork 280Nm dan kapasiti bateri 2.1kWj adalah enjin generasi ke-2 untuk e-Power.
Fungsi e-Power ini ialah enjin sebagai generator kuasa kepada bateri lithium-ion yang menyalurkan kuasanya untuk motor elektrik kepada roda.
Kesannya ialah penjimatan bahan api dan dengan 41 liter tangki kenderaan ini mampu bergerak sehingga 900 km dengan jarak 21.7 km untuk setiap liter.
Ini dapat dirasakan oleh penulis yang bergilir-gilir memandu dengan rakan media lain dalam satu kenderaan tidak perlu melakukan isian bahan api sepanjang perjalanan pergi dan pulang yang mana kami memandunya dengan pelbagai kelajuan serta jalan dilalui.
Nissan menegaskan yang Kicks bukanlah kereta hibrid atau EV dan hanya mahu dikenali sebagai e-Power kerana menawarkan dua ciri itu dalam satu model dan ia tidak perlu dicas kerana dilakukan oleh enjin dan hanya bateri yang menjana kuasa kepada roda dan bukan enjin.
Secara keseluruhannya selama dua hari pemanduan bersama Nissan Kicks ini, penulis dapat merasai memandu teknologi masa hadapan Nissan yang juga sebagai pilihan kepada pasaran kereta mesra alam di negara ini.
Ia bukan sahaja menawarkan kuasa yang baik ketika mahu memintas kenderaan ketika melalui jalan desa atau di lebuh raya malah menawarkan pengendalian dan pecutannya seakan EV yang diperolehi untuk sebuah crossover dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) ini.
Ruang kabin luas dengan ciri praktikal, saiz luaran kompak sesuai untuk mobiliti bandar, Kicks juga sesuai untuk perjalanan jauh dengan penawaran enjin jimat bahan api iti.
Ia juga ditawarkan dengan ciri keselamatan terbaik Nissan Safety Sheild 360 dengan 7 beg keselamatan, Kawalan Dinamik Kenderaan, Sistem Kawalan Cengkaman, Sistem Brek Anti-Kunci dan banyak lagi.
Sekiranya ETCM dapat menawarkan kadar harga yang kompetetif (jangkaan harga di bawah RM130,000) untuk bersaing dengan pasaran automotif negara sudah pasti Kicks bakal menjadi pilihan ramai atas faktor prestasi, bahan api dan penggayaan terkini.
Nissan Kicks sudah berada di pasaran Thailand dan Singapura sebelum ini dan meskipun hanya bakal diperkenalkan untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi, ia sebuah produk yang sesuai untuk anda yang selalu melakukan perjalanan jauh, tinggal di bandar dan mahu kos bahan api yang lebih baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd