hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Subang: Polis menafikan dakwaan seorang buruh warga asing dipukul gengster dalam kejadian di sebuah tapak projek pembinaan di USJ 1, Subang Jaya di sini, kelmarin.
Sebaliknya, kejadian membabitkan pertengkaran mulut antara pekerja warga asing dan seorang lelaki warga tempatan yang juga penyelia projek tapak pembinaan itu hingga berlaku tolak menolak antara mereka, dipercayai kerana masalah tunggakan gaji pekerja.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing yang memaklumkan dia ditolak oleh lelaki warga tempatan dalam kejadian di tapak pembinaan berkenaan, semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku akibat pertengkaran mulut antara lelaki itu yang berusia 23 tahun dengan penyelia projek di tapak pembinaan berkenaan pada 4 petang, kelmarin.
“Hasil siasatan mendapati lelaki warga asing itu berada di lokasi kejadian bersama rakan sekerja seramai kira-kira 10 orang meminta tunggakan gaji selama tiga bulan yang belum diterima.
“Ketika kejadian, seorang lelaki warga tempatan meminta lelaki itu dan rakannya tidak membuat kecoh dan keluar daripada tapak projek berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, ketika perbincangan, berlaku tolak menolak antara kedua-dua pihak berkenaan namun ia dileraikan oleh pekerja lain.
Katanya, warga asing itu tidak mengalami kecederaan namun dia sudah diminta membuat pemeriksaan doktor untuk pengesahan jika terdapat kecederaan.
“Dalam kejadian itu, lelaki terbabit tidak dipukul oleh gengster seperti didakwa dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, video memaparkan pergaduhan sekumpulan individu dikongsikan di media sosial dan ada dakwaan mengatakan pekerja warga asing tidak menerima gaji serta dipukul gengster.
© New Straits Times Press (M) Bhd