Zurich: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino, sekali lagi pertahankan idea jadual padat dan kejohanan yang makin bertambah, walaupun dikritik hebat kerana didakwa mengabaikan kesihatan pemain bola sepak profesional.
Dalam temubual bersama CNN, Infantino berkata, bahawa kebajikan pemain tetap menjadi keutamaan Fifa, walaupun dunia bola sepak kini dibelenggu dengan terlalu banyak kejohanan dan musim yang makin sesak.
“Piala Dunia Kelab 32 pasukan itu hanya sekali setiap empat tahun. Juara hanya main tujuh perlawanan – lebih kurang satu perlawanan setengah sahaja tambahan setiap tahun,” kata Infantino dengan nada tenang.
“Jadi impak dia tak besar mana pun.”
Kenyataan itu hadir selepas Fifa dikritik hebat oleh FIFPRO (kesatuan pemain), LaLiga Sepanyol dan gabungan liga-liga Eropah yang mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Eropah atas dakwaan ‘penyalahgunaan kalendar’ oleh badan induk dunia itu.
Ramai berpandangan bahawa format baharu Piala Dunia Kelab, dan pertambahan kejohanan lain yang dicetuskan Fifa, hanya membebankan lagi pemain – yang kini terpaksa main hampir sepanjang tahun tanpa rehat mencukupi.
Infantino pula seolah-olah tidak begitu risau: “Masalah sebenar ialah hanya segelintir pasukan dan pemain saja yang bermain terlalu banyak perlawanan – selalunya yang sampai ke peringkat akhir kejohanan besar. Tapi secara keseluruhan, benda ini seimbang.”
Tambahnya lagi, Fifa tetap prihatin soal kesihatan pemain.
“Kami nak pastikan pemain dalam keadaan terbaik untuk beri aksi terbaik. Ramai pemain pun cakap kat saya, mereka lebih suka bermain daripada hanya berlatih, betul tak?”
Infantino turut dedahkan bahawa satu pasukan khas diketuai bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, sedang meneliti kesan sebenar kejohanan itu terhadap kebajikan pemain.
© New Straits Times Press (M) Bhd