'Buka jalan' seluasnya

'Buka jalan' seluasnya

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah disifatkan komited dan berdedikasi dalam pembangunan usahawan di Selangor yang berpotensi untuk mengembangkan produk mereka ke pasaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community (SAY), Aiman Syafiq Nazri berkata, mengambil contoh program SAY ASPIRE, baginda menyediakan platform ini agar bakat baharu dalam bidang keusahawanan dapat ditingkatkan.

Menurutnya, dedikasi dan visi Tuanku terhadap peserta atau usahawan yang menyertai program ini adalah untuk diberi akses ke peringkat lebih tinggi hingga ke pasaran global.

“Mungkin sebelum masuk program ini, mereka tidak ada akses kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), pasar raya besar seperti AEON Big dan kita libatkan mereka dengan bank yang boleh sediakan pembiayaan mikro.

“Ini visi Tuanku supaya melalui program ini mereka diberi akses dan saluran merebut peluang itu,” katanya ketika ditemui semasa Program SAY ASPIRE edisi kelima, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, baginda memainkan peranan aktif terhadap rangka program SAY ASPIRE.

“Melalui siri pertama lagi, kita libatkan Tuanku dari segi pembahagian program. Contohnya modul pertama, modul kedua dan kita melibatkan Tuanku sebagai juri,” katanya.

Katanya, dari segi program, SAY ASPIRE edisi kelima ini membabitkan beberapa modul dan elemen berbeza bagi memperkasa usahawan untuk mengeksport produk mereka.

“Kita hubungkan mereka kepada agensi yang boleh membantu eksportkan produk mereka keluar negara seperti Matrade,” katanya.

Selain itu katanya, usahawan menyertai program ini dibantu daripada segi ilmu pengetahuan seperti latihan sedia ada.

“Ia termasuk input pembimbing kita iaitu penasihat perdagangan yang mempunyai banyak pengalaman.

“Ia juga tidak terhenti di situ. Selepas program habis, ada juga pasca program di mana lima atau tiga pemenang utama dipilih menerima tunjuk ajar daripada penasihat perdagangan itu.

“Ini bagi membantu mereka mencapai objektif memasarkan produk ke negara mana yang dikenal pasti” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Keusahawanan SAY, Azim Naim Rahman berkata, program seumpama ini peluang keemasan bagi usahawan.

“Sebab itu, apabila kami cari usahawan, kami mahu mereka yang boleh dibantu dari segi pembangunan diri, pembangunan kehidupan mereka dan sebagainya,” katanya.

Katanya, sejak program dianjurkan dari 2018, dianggarkan 200 usahawan berminat menyertainya.

SAY ASPIRE adalah program pembangunan usahawan untuk belia yang berpotensi bagi mengembangkan produk serta khidmat mereka ke pasaran global melalui kursus bimbingan dan latihan strategi eksport.

Program ini dianjurkan Tengku Amir Shah melalui badan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan baginda iaitu SAY.

Bagi edisi tahun ini, ia bermula dari Januari sehingga Ogos dan memberi impak kepada 30 usahawan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Selangor yang bersedia menerokai pasaran global.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top