Buka 11 gerai nasi lemak dalam tempoh empat bulan – Utusan Digital

Buka 11 gerai nasi lemak dalam tempoh empat bulan – Utusan Digital

KOTA BHARU: Seorang pemilik butik pakaian yang terpaksa gulung tikar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menyangka usahanya untuk bangkit semula dengan berniaga nasi lemak membuahkan hasil lumayan.

Lebih menggembirakan, Nasi Lemak Abu Nawas Viral dijual pada harga RM2.50 itu tular di media sosial hinggakan Sheera Armimi Kasuadinata, 24, bersama ibunya tidak menang tangan menyiapkan hampir 900 bungkus nasi sehari di 11 gerai cawangan mereka.

Sheera Armimi memberita­hu Utusan Malaysia, mereka mula berniaga nasi lemak sejak Julai lalu selepas hampir setahun terputus punca pendapatan ekoran butik pakaian miliknya terpaksa ditutup.

“Disebabkan keadaan eko­nomi keluarga kami tidak menentu, saya memilih berniaga nasi lemak yang dimasak ibu, Siti Miah Mohd Rameli.

“Dengan modal RM10,000, kami berjaya membuka 11 gerai Nasi Lemak Abu Nawas Viral di sekitar Kota Bharu, Wakaf Che Yeh dan Pengkalan Chepa,” katanya di sini baru-baru ini.

Jelasnya, supaya rezeki berkat, mereka menyediakan hidangan nasi lemak percuma di masjid-masjid dan rumah anak yatim pada setiap Jumaat.

Scroll to Top