Budak perempuan 12 tahun rosak paru-paru kerana vape

Budak perempuan 12 tahun rosak paru-paru kerana vape

Bangkok: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di wilayah Buri Ram, Thailand, disahkan mengalami kerosakan paru-paru yang teruk akibat penggunaan rokok elektronik (vape) selama dua tahun.

Keluarga langsung tidak menyedari tabiat budak itu sehinggalah pihak sekolah memaklumkan mengenai perkara berkenaan.

Nenek gadis itu, Ae, terkejut apabila guru di sekolah anaknya di Tambon Don Mon, daerah Satuek, memaklumkan penyakit cucunya.

Kes gadis itu pertama kali didedahkan di Facebook (Fb) oleh Paphawarin Simlakorn iaitu seorang anggota penyelamat dari Perbandaran Tambon Don Mon.

Menerusi hantarannya, Simlakorn memberi amaran dan menggesa ibu bapa untuk memantau dengan teliti anak mereka yang menggunakan rokok elektronik.

Paphawarin melaporkan bahawa dia baru-baru ini membawa tiga pelajar masing-masing gred lima, enam dan lapan ke hospital selepas mereka mengalami sesak nafas dan sakit dada akibat penggunaan rokok elektronik.

Menurut pejabat penyelamat tempatan, seorang pelajar berusia 15 tahun di daerah kecil sama meninggal dunia pada Januari lalu selepas penggunaan rokok elektronik untuk tempoh berpanjangan.

Ae menjelaskan bahawa cucunya seorang pelajar yang rajin, namun sikapnya berubah dengan ketara selepas memasuki Tahun Empat.

Menurut Ae, cucunya berhenti membantu kerja rumah dan kerap keluar dari rumah dengan alasan pergi belajar berkumpulan dengan rakan.

Cucu ya kemudiannya dimasukkan ke Hospital Satuek selepas mengalami sesak nafas, muntah-muntah, dan kelemahan yang melampau.

Doktor kemudian mendapati hampir 100 peratus paru-paru kanak-kanak itu rosak akibat rokok elektronik.

Dia kini berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top