am@hmetro.com.my
Lipis: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dipercayai tercampak dan tercicir dari kereta yang dipandu bapanya di KM 7, Jalan Lipis-Marapoh, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa dipercayai tercampak keluar kereta ketika bapanya berusia 36 tahun membuat pusingan U.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kanak-kanak itu ditemui orang awam yang melalui jalan itu dengan keadaan luka di muka berseorangan di tepi jalan.
“Kanak-kanak itu dihantar ke Balai Polis Padang Tengku. Bapa mangsa kemudian dimaklumkan anaknya sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Padang Tengku ketika membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Lipis.
“Akibat kemalangan itu, kanak-kanak-kanak itu cedera dan menerima rawatan susulan di Hospital Kuala Lipis,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati, kanak-kanak itu dipercayai terjatuh dari kenderaan melalui tingkap belakang sebelah kiri kereta yang terbuka.
“Ketika kejadian itu, pemandu dipercayai memberhentikan kereta untuk menjawab panggilan telefon.
“Kes masih disiasat oleh pihak polis di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd