Budak 3 tahun cedera otak saman pengasuh, taska RM1.45 juta

Budak 3 tahun cedera otak saman pengasuh, taska RM1.45 juta

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kanak-kanak berusia tiga tahun memfailkan saman sivil terhadap pengusaha dan tiga pengasuh taman asuhan kanak-kanak (taska) yang menyebabkannya mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala.

Saman sivil itu dikemukakan Ahmad Aysar Wildan melalui bapanya, Dr Ahmad Syamil Hadi Ibrahim, 31, yang mewakili anaknya menerusi peguam, Mohd Hazwan Hamidun dan Alif Danial Ahmad Shahrulnizam dari Firma Guaman Tetuan Rafaei & Co di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Saman sivil itu difailkan terhadap empat defendan iaitu Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 29; Nur Azreen Nazira Mohamad,24; Nuurakmal Syahirah Abdullah, 35; serta Salawati Sidek, 51, bagi tuntutan ganti secara bersama dan atau berasingan sebanyak RM1.45 juta termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta ganti rugi khas.

Mohd Hazwan berkata, tuntutan sivil bagi anak guamnya dilakukan kerana tindakan defendan pertama (Raja Noor Iffa Nadia) menyebabkan plantif yang ketika kejadian berusia empat bulan mengalami pendarahan di bahagian kiri otak, keretakan pada kiri tengkorak dan pendarahan pada bahagian retina kedua-dua matanya.

“Plaintif juga disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) akibat kecederaan itu dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini hari ini.

Mohd Hazwan berkata, defendan kedua dan ketiga sebagai pengasuh yang berada di dalam bilik yang sama dengan Raja Noor Iffa Nadia (defendan pertama) melihat dan berada di tempat kejadian tidak mencegah atau melarang defendan pertama daripada mengasari dan mencederakan plaintif.

Katanya, Nur Azreen Nazira selaku defendan kedua juga dilihat turut mengasari plaintif beberapa kali.

“Defendan keempat selaku pemilik taska pula melakukan kecuaian apabila gagal memastikan semua pengasuh mematuhi etika dan menjalankan kerja dengan baik.

“Beliau sebagai majikan dan pemilik taska turut bertanggungan secara vikarius atas tindakan pengasuh terbabit.

“Walaupun defendan pertama selaku pelaku utama sudah dikenakan denda RM15,000 setiap satu bagi ketiga-tiga pertuduhan selepas mengaku salah di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 16 Disember tahun lalu, kita failkan tindakan sivil supaya anak guam saya mendapat ganti rugi disebabkan kecederaan dialaminya,” katanya.

Susulan saman difailkan itu, mahkamah menetapkan 22 April depan untuk sebutan kes.

Sementara itu, Dr Ahmad Syamil Hadi berharap anak mendapat keadilan ke atas kecederaan yang dialaminya selain berharap tuntutan itu dapat digunakan anaknya pada masa akan datang.

“Kejadian itu menyebabkan anak saya yang dilahirkan normal menjadi OKU dan terpaksa menjalani fisioterapi setiap minggu kerana tangan dan kaki kanannya tidak boleh berfungsi dengan normal.

“Malah, perkembangan juga ‘delay’ dan keadaan emosinya juga tidak stabil, doktor suspek dia mungkin autisme.

“Semoga anak saya dapat pembalasan yang baik sebab apa yang jadi sangat di luar jangkaan dan tidak berperikemanusiaan.

“Kes jenayah memang sudah selesai tetapi kami akan teruskan dengan Mahkamah Sivil,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas dipercayai didera pengasuh dalam kejadian di sebuah taska di daerah ini pada Januari 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top