PONOROGO ā Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera selepas ditembak jirannya sendiri ketika sedang memancing ikan keli di sebuah kolam di Desa Madusari, Kecamatan Siman, Ponorogo, Jawa Timur.
Ketua Balai Polis Siman, AKP Nanang Budianto berkata, kejadian berlaku pada Selasa, apabila pemilik kolam, Sumanto berasa marah selepas mendapati mangsa, Alif bersama beberapa rakannya sedang memancing di kolamnya tanpa kebenaran.
“Suspek mengaku berasa kesal kerana kolamnya sering diceroboh. Dia kemudian bertindak melepaskan tembakan secara rawak menggunakan senapang angin,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Nanang, sebaik sahaja mendengar bunyi tembakan, mangsa dan rakan-rakannya terus melarikan diri.
“Ketika sedang berlari, mangsa tiba-tiba berasa sakit dan mendapati lengan kirinya terkena tembakan,” jelasnya.
Mangsa segera dibawa ke hospital dan telah menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru yang tertanam di lengannya.
Kes kini disiasat oleh Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA) Polis Ponorogo bagi tindakan lanjut.
“Suspek telah ditahan dan kes disiasat mengikut undang-undang perlindungan kanak-kanak,” kata Nanang.
Polis turut merampas senapang angin yang digunakan dalam kejadian itu bersama beberapa peluru sebagai bahan bukti. – Agensi