Bubur pedas makanan tradisi Ramadan Melayu Sarawak

Bubur pedas makanan tradisi Ramadan Melayu Sarawak

RAMADAN telah pun tiba bermakna umat Islam seluruh dunia telah memulakan
amalan ibadah rukun Islam ke tiga. Bulan mulia ini bukan sahaja ditunggu-tunggu umat Islam tetapi seluruh rakyat negara ini tidak kira bangsa dan agama bagi merasai kemeriahan dan kemewahan kulinari tempatan dengan kehadiran bazaar-bazaar Ramadan.

Juadah seperti air katira, bubur lambuk, dan bubur pedas Sarawak adalah antara
juadah yang ditunggu-tunggu kerana hanya didapati pada bulan Ramadan sahaja.
Bubur pedas adalah makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak yang lazimnya didapati pada bulan Ramadan sama seperti bubur lambuk. Istimewanya juadah ini, ia hanya didapati di Sarawak dan amat sukar untuk mencari penjualnya di Semenanjung Malaysia.

Penyediaan bubur pedas ini agak rumit dengan senarai bahan-bahan yang
diperlukan melebihi 30 bahan termasuk bumbu dan juga bahan-bahan lain. Proses
memasaknya juga memerlukan kesabaran bagi mendapatkan keenakan bubur
pedas yang asli.

Bubur Pedas Juadah Popular Sarawak

Menurut Dr. Farah Akmal Idrus yang telah berhijrah ke Sarawak sejak tahun 2006,
bubur pedas adalah antara juadah istimewa yang ditunggu-tunggu setiap kali tiba
bulan Ramadan.

“Pada bulan Ramadan, ramai peniaga makanan akan menjual bubur pedas ini di bazaar Ramadan dan juga gerai-gerai makanan. Bubur pedas ini laku keras dan cepat habis.

“Bubur ini seperti bubur lambuk juga, cuma rempah ratusnya itu yang membuatkan
ia agak unik dan juga sayur-sayuran yang dimasukkan ke dalam juadah ini juga
menjadikan ia bertambah sihat dan sesuai dimakan oleh semua golongan,” katanya.

Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber,
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, juadah bubur pedas ini memang
sukar untuk dijumpai di Semenanjung Malaysia yang menjadikan ia sangat istimewa
dan mempunyai nilai kenegerian yang tersendiri.

“Sebut saja bubur pedas mesti ingat Sarawak. Kalau saya jumpa ada yang menjual,
pasti saya akan membelinya,” katanya.

Bubur pedas Sarawak

Juadah yang dirindui perantau di Semenanjung Malaysia

Diakui oleh anak jati Sarawak Siti Ameena Mostapha, 37, bubur pedas Sarawak
amat sukar untuk ditemui di Semenanjung Malaysia dan boleh dikatakan hampir
tiada mereka yang menjualnya kecuali di restoran khas makanan Sarawak.

“Kebiasaannya saya akan meminta kenalan ibu saya untuk memasakkan bubur
pedas ini. Memang susah nak jumpa terutama di Semenanjung. Kalau di Sarawak
pula kebiasaannya ia hanya akan ada pada bulan puasa sahaja.

“Seperti bubur lambuk di sini, bubur pedas juga menjadi juadah tradisi yang
disediakan oleh masjid-masjid dan surau untuk disedekahkan kepada orang ramai,”
katanya.

Bagaimanapun kata Siti Almeena, kini terdapat banyak pes bubur pedas dalam
pasaran sama seperti pes laksa Sarawak. Hanya pilih sahaja pes yang diingini
melalui platform dalam talian dan buat sendiri di rumah tanpa perlu melalui proses-
proses konvensional yang rumit.

Bersempena Sarawak menjadi destinasi pilihan MATTA Fair 2022 yang bakal
berlangsung pada 9 hingga 10 April 2022 ini di Pusat Dagangan Dunia Putra,
Lembaga Pelancongan Sarawak akan mengagihkan juadah bubur pedas Sarawak
secara percuma kepada pengunjung di tapak pameran agensi tersebut yang terletak
di pintu masuk dewan 4 (booth nombor 4051-4071).

Bagi mereka yang ingin mencuba untuk memasak sendiri bubur pedas Sarawak,
boleh rujuk resipi di bawah.

RESIPI BUBUR PEDAS SARAWAK
Bahan-bahan bumbu:
 Beras
 Bawang merah
 Bawang putih
 Kunyit
 Halia
 Lada hitam & putih
 Serbuk ketumbar
 Kelapa parut
 Bunga lawang
 Bunga cengkih
 Kulit kayu manis
 Buah pelaga
Bahan-bahan bubur pedas:
 Bumbu
 Udang
 Tendon daging lembu
 Bawang Merah & Putih
 Cili kering
 Santan
 Kacang panjang
 Lobak merah

 Kentang
 Keledek
 Rebung manis
 Daun kesum
 Daun kunyit
 Kulat Hitam
 Cendawan
 Kacang rebus
 Jagung Muda
 Sayur midin
 Udang kering
 Garam
 Gula
 Minyak

Cara-cara untuk bumbu:

1. Masukkan semua bahan ke dalam kuali dan tumis dengan api sederhana
hingga semuanya berubah menjadi warna keemasan.
2. Setelah selesai, kisar campuran bahan hingga halus dan sebati. Ketepikan
dalam satu bekas.

Cara-cara untuk membuat bubur:

1. Tumis bawang merah, bawang putih dan udang kering hingga keemasan dan
wangi di dalam periuk. Kemudian masukkan bumbu bubur pedas yang telah
dikisar (campurkan dengan air), kemudian gaul sehingga pecah minyak.
2. Masukkan udang dan tendon daging lembu. Secara berperingkat, masukkan
air hingga semua bahan mendidih.
3. Kemudian masukkan semua sayur yang dihiris. Gaul rata semua bahan
hingga berbau wangi. Akhir sekali masukkan santan, sedikit garam dan gula.

Nota: Jika tiada sayur midin, sebagai alternatif boleh digantikan dengan sayur lain
seperti kubis.

Resipi dikongsikan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak.

Scroll to Top