Beijing: Mahkamah di China melelong 100 tan (100,000 kilogram) buaya hidup pada harga permulaan empat juta yuan (kira-kira RM2.6 juta), namun pembeli perlu mengambil sendiri haiwan reptilia itu di lokasi ditetapkan.
Pengumuman mengenai lelongan luar biasa terbabit mencuri perhatian ramai kerana ratusan buaya hidup yang mahu dilelong dan cabaran logistik sehingga mencetuskan pelbagai reaksi warganet di media sosial.
SCMP melaporkan Mahkamah Rakyat Daerah Nanshan di Shenzhen menarik perhatian apabila mengumumkan lelongan itu secara dalam talian, baru-baru ini dengan lelongan dihoskan melalui Platform Lelongan Kehakiman Alibaba.
Buaya berkenaan asalnya dimiliki syarikat Guangdong Hongyi Crocodile Industry Company yang diasaskan oleh Mo Junrong atau dikenali ‘Dewa Buaya’ pada tahun 2005.
Syarikat itu memiliki modal berdaftar melebihi 50 juta yuan (kira-kira RM32.6 juta), namun dilapor gagal memenuhi tanggungjawab kewangan yang mendorong pelupusan asetnya.
Lelongan rasmi itu bermula pada 10 Mac dan berlangsung sehingga 9 Mei.
Buaya dianggap spesies yang sangat menguntungkan di China kerana digunakan dalam lebih 100 produk termasuk kulit, daging, tonik kesihatan, kosmetik dan juga arak.
Buaya yang dilelong daripada spesies buaya Siam, yang telah disenaraikan dalam kategori haiwan liar boleh diternak dan diperdagangkan secara komersial di China sejak 2003.
Pembeli perlu menanggung semua kos pengambilan termasuk menangkap, menimbang, memuat dan mengangkut buaya terbabit.
Notis lelongan turut menetapkan bahawa pembeli mesti memiliki lesen pembiakan untuk hidupan liar akuatik di bawah kategori buaya serta kemudahan dan keupayaan logistik yang mencukupi untuk menguruskan penghantaran sebesar itu.
Sekiranya pembeli gagal memenuhi syarat tersebut selepas pembelian, mahkamah akan menyimpan wang pendahuluan sebanyak 300,000 yuan (kira-kira RM195,600) sebagai penalti.
Setakat ini, lebih 4,000 pelawat telah melayari halaman lelongan itu namun tiada seorang pun yang mendaftar untuk membida.
© New Straits Times Press (M) Bhd