rencana@hmetro.com.my
Seramai 30 pelajar tahfiz Pondok Darul Wahyi, Jelor Pasir Puteh, Kelantan berpeluang mengikuti kursus pendek membuat amplifier (penguat elektronik sistem audio) dengan kerjasama Kolej Komuniti Besut, Terengganu.
Pensyarah Utama, Unit Mechanical Design Technology, Kolej Komuniti Besut, Ts Mat Sazilin Ayub berkata, program berkenaan berlangsung dua hari mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta.
Katanya, kursus berkenaan dapat memberikan kemahiran teknikal kepada peserta dan meningkatkan potensi pendapatan mereka melalui bidang elektronik.
“Kursus ini membabitkan pengisian teori dan praktikal yang seimbang.
“Mereka diajar mengenai langkah-langkah asas dalam membuat amplifier termasuk mengenali komponen elektronik seperti resistor, kapasitor, transistor serta cara menyambungkan litar dengan betul,” katanya.
Beliau berkata, program berkenaan amat penting untuk memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya pelajar tahfiz mempelajari kemahiran baharu yang relevan dengan keperluan zaman moden.
“Peserta juga diberi peluang menghasilkan amplifier mereka sendiri sebagai projek akhir kursus.
“Hasil kerja mereka bukan sahaja berjaya diuji dan dipamerkan pada sesi penutup, tetapi turut boleh digunakan untuk keperluan masjid di Pondok Tahfiz Darul Wahyi,” katanya.
Katanya, kejayaan menghasilkan sendiri hasil kerja dapat memberi kepuasan kepada peserta serta meningkatkan keyakinan mereka untuk menggunakan kemahiran itu pada masa akan datang.
Pengetua Pondok Darul Wahyi, Zulkifli Husain yang juga Timbalan Presiden Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) Kebangsaan berkata, program berkenaan diharap dapat menjadi pemangkin kepada pelajar dan masyarakat untuk terus mendalami ilmu teknikal yang bermanfaat.
“Kami berharap kerjasama ini boleh membantu pelajar tahfiz memperoleh kemahiran dalam bidang yang dapat meningkatkan daya saing mereka di pasaran kerja selain daripada kemahiran agama yang mereka pelajari,” katanya.
Peserta, Haris Akmal Mohd Hairun, 18, berkata, dia seronok serta teruja selepas mengikuti kursus berkenaan.
“Saya tidak pernah membayangkan mampu membuat amplifier sendiri dan sangat membantu saya memahami asas elektronik.
“Malah saya bercadang mendalami bidang ini selepas tamat belajar di sini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd