Brendan Gan kembali sertai Selangor FC?

Brendan Gan kembali sertai Selangor FC?

KUALA LUMPUR – Selangor FC dilaporkan akan membawa bekas kapten pasukan, Brendan Gan menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) nanti.

Spekulasi itu timbul selepas perkongsian laman Instagram, @Selangorfans_official, yang mendakwa Gergasi Merah akan diperkuatkan dengan empat pemain tempatan baharu menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super bulan depan.

Selain Brendan, nama bekas pemain kelab Cagliari Calcio, Kobe Jae Chong turut dikhabarkan akan menyertai skuad Nidzam Jamil selepas didakwa sudah mendapat pasport Malaysia.

Sebelum ini tular di media sosial, gambar Kobe sedang menjalani latihan bersama skuad Gergasi Merah sekali gus memberikan gambaran bahawa pemain itu bakal menyertai Selangor.

Februari lalu, Selangor mengumumkan Brendan yang juga tonggak tengah kebangsaan,  sah meninggalkan selepas empat musim bersama Gergasi Merah.

“Kelab Bola Sepak Selangor dengan berat hati mengumumkan kapten pasukan, Brendan Gan tidak akan bersama pasukan selepas empat musim bersama.

“Pemain tengah itu tidak akan menjadi sebahagian daripada pasukan Red Giants untuk musim 2024,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Sepanjang berkhidmat dengan Selangor FC, Brendan telah membuat 80 penampilan dan menjaringkan 14 gol dan 12 bantuan jaringan.

Tidak dilupakan, bantuan gol ke-12 dan terakhir beliau membantu Selangor FC menumpaskan seteru, Kedah Darul Aman FC untuk mengesahkan tempat kedua Liga Super 2023 dan juga memastikan pasukan layak ke Liga Juara-Juara AFC 2. – MalaysiaGazette