Brazil hanya seri berdepan Venezuela

Brazil hanya seri berdepan Venezuela

Maturin: Brazil terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Venezuela selepas gol pantas pada separuh masa kedua oleh pemain gantian Telasco Segovia menafikan jaringan pendahuluan Raphinha dalam kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan.

Vinicius Jr terlepas peluang untuk membantu negaranya mencatat kemenangan melalui sepakan penalti tatkala tuan rumah pula bermain dengan 10 pemain pada minit-minit akhir.

Pemain gantian Alexander Gonzalez dibuang padang kerana memukul muka Gabriel Martinelli dan Vinicius dalam dua insiden berturut-turut pada minit ke-89.

Brazil, juara Piala Dunia lima kali, kini berada di tempat ketiga dalam carta dengan 17 mata, lima mata di belakang pendahulu Argentina, sementara Venezuela di tempat ketujuh dengan 12 mata.

Enam pasukan teratas akan mendapat tempat di pusingan akhir Piala Dunia 2026.

Perlawanan yang pantas ini menyaksikan banyak peluang daripada kedua-dua pasukan yang masing-masing mencatatkan 11 percubaan ke gol, dengan Brazil menguasai lebih 60 peratus penguasaan bola tetapi gagal menukar kepada gol dan sering terdedah kepada serangan balas pantas.

Raphinha memberi Brazil kelebihan apabila menjaringkan gol yang cantik menggunakan kaki kiri dari sepakan percuma di tepi kotak penalti pada minit ke-43 yang memantul dari tiang kiri sebelum menerjah jaring.

Gol itu adalah yang pertama buat Brazil daripada sepakan percuma selepas 19 tahun dalam kelayakan Piala Dunia, kali terakhir pertahanan Real Madrid Roberto Carlos menjaringkan gol yang serupa menentang Venezuela pada 2005.

Namun, Segovia menyamakan kedudukan dengan rembatan tidak dapat diselamatkan dari tepi kotak penalti hanya 38 saat selepas separuh masa kedua bermula.

Walaupun begitu, Brazil terus mengancam dan berpeluang untuk kembali mendahului pada minit ke-62 apabila Vinicius dikasari di dalam kotak penalti oleh penjaga gol Rafael Romo dalam satu serangan balas pantas.

Namun, Romo menyelamatkan sepakan penalti Vinicius, manakala Venezuela bertahan menentang serangan terakhir Brazil untuk mencari gol kemenangan.

“Ia sangat menyedihkan kerana bagi saya, perkara yang paling penting adalah menang dan saya rasa kami sepatutnya menang perlawanan ini,” kata Raphinha kepada TV Globo Brazil.

“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar, pasukan mereka juga mempunyai kualiti yang baik, tetapi kadangkala perlawanan menjadi sukar dengan apa yang berlaku, apabila anda gagal menyempurnakan peluang yang ada. Kami perlu terus bekerja untuk kembali mencari kemenangan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top